Seni Sebagai Penyeri Dunia

Pendidikan Seni Visual merupakan salah satu subjek alternatif yang telah disaran serta diberi galakkan kepada para pelajar untuk mengambilnya sebagai peperiksaan wajib di kebanyakkan sekolah rendah dan menengah. Kenapa perlu berlajar seni di sekolah? tak minat lah belajar seni.

Seni Lahir Bersama-sama Kelahiran Insan

Setiap manusia dilahirkan mempunyai darah seni. Tanpa sedar, apa jua aktiviti yang kita lakukan memerlukan aplikasi seni. Sebagai contoh memasak dan menjahit memerlukan seni serta kreativiti yang mahir dalam menghasilkan masakan yang sedap serta berkualiti dan jahitan yang cantik serta kemas.

Seni memberi banyak manfaat kepada setiap individu. Ayuh terokai seni dalam kehidupan kita.

1. Seni Sebagai Sumber Pendapatan

Para pengiat seni seperti pelukis, pemuzik, penyair atau penyanyi akan menjadikan seni sebagai sumber pendapatan mereka. Betapa beruntungnya bagi mereka yang berbakat ini. Namun, siapa jua boleh menceburi bidang seni ini kerana bakat tanpa praktis tiada gunanya malah yang tidak berbakat jika digilap dan selalu praktis anda mempunyai masa depan yang cerah.

Sebagai penyanyi, pemuzik atau penari selain menghiburkan mereka juga secara tidak langsung berupaya menaikkan bidang seni sebagai satu bidang yang sangat dikagumi dan menggalakkan lebih ramai individu untuk melibatkan diri.

2. Seni Sebagai Terapi dan Rawatan

Mungkin masih ramai yang tidak terdedah atau mengetahui bahawa seni merupakan salah satu rawatan yang sangat menarik dan efektif untuk digunakan sebagai salah satu terapi dalam bidang perubatan.

 Terapi seni adalah proses pemulihan sikap dan emosi yang boleh sama-sama kita fikirkan. Gabungan antara kaedah psikologi, perlakuan, bakat dan disiplin diri boleh dijadikan ruang untuk terapi seni diolah sebagai mekanisme pemulihan.Terapi seni juga adalah kaedah untuk menggalakkan pesakit meluahkan perasaan pemikiran mereka yang tidak boleh dilahirkan dengan perkataan melalui seni terutama lukisan. Untuk maklumat lebih lanjut anda boleh lihat di halaman yang akan memberi penerangan dengan lebih lanjut.

3. Seni Sebagai Hobi Anda!

Hargai masa anda dengan aktiviti yang berfaedah. Melukis, mewarna, ,mengukir dan pelbagai lagi aktiviti yang berkaitan dengan seni dapat anda jadikan sebagai hobi anda.

Aktiviti ini menarik untuk dilakukan dimasa lapang terutamanya bersama-sama ahli keluarga atau rakan-rakan. Saat beraktiviti anda akan melihat, menerokai dan menilai sendiri betapa indah dan luasnya bidang seni ini. Tambahan pula, setiap individu mempunyai pemikiran dan kemahiran kreativiti yang tersendiri. Secara tidak langsung juga, dapat mengeratkan lagi hubungan anda bersama-sama keluarga serta rakan.

4. Seni Sebagai Alat Komunikasi

Sebelum wujudnya huruf, lukisan adalah medium utama untuk kita berkomunikasi. Pengekalan fakta keagungan tamadun dan kerajaan silam dibuat dalm bentuk lukisan.

Tambahan pula, bagi mereka yang tidak mahir membaca atau buta huruf dan bisu, melukis adalah cara yang terbaik untuk berkomunikasi melalui medium lukisan dan mudah untuk difahami.

Selain itu, wayang kulit yang terkenal sebagai salah satu seni  tradisional iaitu sejenis hiburan pementasan bayang yang terhasil dari patung yang dibuat daripada belulang (kulit lembu/ kerbau/ kambing). Bayang-bayang patung tersebut membawa watak-watak tertentu. Hiburan ini adalah berbentuk teater iaitu sebuah penceritaan yang dapat kita fahami melalui pergerakkan patung-patung tersebut.

Dunia Tanpa Seni Apa Akan Terjadi

Persfektif setiap orang dengan pertanyaan ‘apa yag terjadi pada dunia jika tidak ada seni?’ pasti akan berbeza.

Jika bertanya kepada pelukis, mungkin akan menjawab dunia akan hampa.

Jika bertanya kepada penyair, mungkin akan menjawab dunia akan mandul.

Jika bertanya kepada penenun, mungkin akan menjawab dunia akan telanjang.

Jika bertanya kepada pemuzik, mungkin akan menjawab dunia akan sepi.

Jika bertanya kepada penari, mungkin akan menjawab dunia tidak akan menarik.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa seni memainkan peranan penting dalam kehidupan kita.