Menangani Serangan Psikologi

PSIKOLOGI dalam laras bahasa paling mudah boleh ditakrifkan sebagai kajian saintifik tingkah laku dan proses-proses mental. Kata akar yang membentuk perkataan psychology adalah daripada bahasa Yunani purba iaitu psyche bermaksud mind dan logos bermaksud knowledge atau study. Apabila dihubungkaitkan dengan kehidupan, maka psikologi boleh dinyatakan sebagai satu bidang ilmu saintifik tentang tingkah laku dan proses-proses mental dalam konteks kemanusiaan sejagat.

Dalam aspek tindakan sekelompok manusia untuk me­nguasai kelompok manusia yang lain, ‘menyerang’ menggunakan pendekatan psikologi adalah satu bentuk ancaman baru dalam dunia moden. Sejak turun-temurun, falsafah ‘siapa kuat dialah kudrat’ sering menjadi asas percaturan dalam sesuatu pertelagahan melibatkan dua pihak (atau lebih) sehingga mencetuskan konflik bersenjata.

Dalam hal ini, kuantiti bala tentera dan peralatan serta tahap kecanggihan teknologi persenjataan kedua-dua pihak sering dijadikan perbandingan untuk meramal pemenangnya. Namun, dalam era ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) hari ini dimensi serangan psikologi yang dikenali secara taktikalnya sebagai psychological warfare se­ringkali menjadi faktor penentu terhadap situasi menang atau kalahnya sesebuah angkatan bersenjata apabila memasuki sesuatu medan pertempuran fizikal.

Serangan psikologi lazimnya digerakkan dengan pendekatan memanipulasi pemikiran atau persepsi keseluruhan masyarakat dalam komuniti musuh secara beransur-ansur bertujuan menghancurkan moral dan semangat melawan musuh sebelum medan pertempuran sebenar bermula lagi. Serangan disasar kepada keseluruhan masyarakat umum dan pasukan bersenjata musuh, menggunakan strategi-strategi seperti:

(a) Menyebar persepsi negatif berkaitan aspek-aspek pentadbiran kerajaan, sosial, dan kemasyarakatan pihak musuh, bertujuan menyuntik serta menye­mai benih-benih penentangan dalaman;

(b) Menampilkan imej positif pihak yang melancarkan sera­ngan, bertujuan menarik sokong­an warga awam musuh untuk berpaling tadah;

(c) Menyebar propaganda bahawa peralatan atau sistem persenjataan musuh adalah ketinggalan zaman, angkatan perang musuh dipimpin oleh peme­rintah yang tidak berkesan atau tidak berpengalaman atau cetek ilmu peperangan, dan anggota-anggota tentera musuh telah dinafikan hak atau keperluan asas kemanusiaan oleh pihak atasan.

Apa yang membuatkan strategi serangan psikologi lebih berbahaya berbanding peperangan fizikal secara berhadapan adalah keupayaannya untuk melumpuhkan semua cabang perkhidmatan ketenteraan (darat, laut, dan udara) serta jentera perkhidmatan awam pada masa yang hampir serentak.

Selain itu, serangan psikologi berpotensi besar menggugat ketenteraman awam secara menyeluruh. Hakikat keberkesanan strategi ini telah terbukti dalam peristiwa cubaan rampasan kuasa yang berjaya dipatahkan di Turki baru-baru ini yang menyaksikan pihak pemberontak terdiri dalam kalangan warga tentera tidak setia dan golongan hakim serta penjawat awam yang berpaling tadah.

Senario ini serupa dengan apa yang berlaku dalam insiden persengketaan di Iraq, Libya, dan beberapa negara lain di rantau Asia Barat tidak berapa lama dahulu.

Natijahnya, dalam keadaan dunia tanpa sempadan kini, segala perancangan dan taktik ‘serangan’ psikologi ke atas kelompok manusia yang mendiami mana-mana lokasi di atas muka bumi ini menjadi amat mudah untuk dilaksanakan.

Matlamat pelaksanaan ‘serang­an’ juga boleh bersifat pelbagai seperti membalas dendam, me­rampas hasil bumi, menakluk atau menjajah dan sebagainya. Penyebaran propaganda dan ideologi, khabar-khabar angin, serta berita-berita palsu melalui rangkaian media elektronik, cetak, dan sosial boleh berlaku dengan pantas.

Gerakan penyampaian maklumat melalui jaluran komunikasi maya ini mampu membentuk persepsi negatif dalam kalangan komuniti sasaran, seterusnya menjayakan hasrat atau matlamat pihak yang melancarkan ‘serangan’ dalam tempoh masa yang singkat.

Justeru, sebagai individu yang rasional dan bertanggungjawab, kita haruslah sentiasa berhati-hati dalam mendepani sebarang isu semasa di dalam negara terutama melibatkan perkhabaran dan berita yang masih belum dikenal pasti kesahihannya.

Berfikir secara kritis dan teliti dan elakkan diri daripada terjerumus menjadi agen penyebar benih-benih ‘serangan’ psikologi daripada musuh yang tidak diketahui. Semoga maruah dan kedaulatan agama, bangsa dan negara kita akan kekal terpelihara.

.

Sumber: Utusan.com.my