Kesan Stres dan Kaitannya dengan Fisiologi & Tingkah Laku Manusia

Tekanan perasaan atau lebih sinonim dengan perkataan stres merupakan satu pengalaman atau kejadian yang sering dialami oleh seseorang individu. Stres boleh mendatangkan gangguan ke atas pemikiran, perasaan dan aktiviti seharian. Stres yang melebihi pada tahap tertentu sekiranya tidak dikawal akan mewujudkan pelbagai masalah kepada setiap individu (Romas dan Sharma, 2004). Kebiasaannya, stres akan dialami dalam pelbagai keadaan seperti rasa kesunyian, kurang tidur, keresahan, kebimbangan yang tinggi serta simptom-simptom fisiologi yang ditunjukkan kesan daripada sesuatu peristiwa yang dialami (Wright, 1967).

Stres Memberi Kesan Buruk kepada Fisiologi Manusia

Stres mendatangkan kesan yang negatif terhadap individu yang mengalaminya. Menurut Campbell dan Svenson (1992), apabila stres dilihat dari aspek negatif atau tekanan yang terlalu tinggi, ianya boleh mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan dan pencapaian akademik seseorang pelajar. Tambahan pula, apabila seseorang individu berada dalam keadaan stres, beliau akan mengalami satu kesukaran untuk  mengawal dirinya dan persekitaran serta aktiviti sehariannya. Sebagai contoh, apabila seseorang berada dalam tekanan beliau menjadi susah untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang sekeliling. Hal ini demikian kerana, apabila berada dalam stres, emosi, kognisi dan tingkah laku kita mudah dipengaruhi dan terkawal oleh masalah tersebut.

Selain itu, apabila individu mengalami stres di tempat kerja, ia boleh menyebabkan simptom yang menjejaskan fisiologi, psikologi dan tingkah laku. Stres juga boleh berlaku sebagai impak psikologi yang mempunyai komponen emosi dan kognitif di mana ia memberi kesan negatif terhadap kesihatan pekerja. Oleh itu tidak hairanlah jika stres boleh memberi kesan terhadap kesihatan termasuklah peningkatan risiko penyakit jantung, penyakit muskuloskeletal (musculoskeletal disorders – MSD), masalah psikologi seperti kemurungan dan kehabisan tenaga (burnout) serta masalah gastrousus. Sebagaimana yang telah disedari, stres yang berlebihan boleh membawa kepada ketegangan (strain) dan menyebabkan kemurungan (depression). Kemurungan kesan daripada stres di tempat kerja boleh menyebabkan gangguan psikologi yang melibatkan kebimbangan, kesedihan dan cepat marah, fisiologi iaitu melibatkan tekanan darah dan ketegangan otot serta tingkah laku yang melibatkan prestasi kerja yang lemah, kemalangan, gangguan tidur dan pengambilan alkohol.

Pelbagai Kesan Tindak Balas  daripada ketidakseimbangan Hormon

Tambahan pula, dalam dunia yang penuh dengan kepelbagaian kemodenan ini individu lebih terdedah kepada pelbagai situasi tekanan. Tekanan boleh menyebabkan perubahan tahap serum pelbagai hormon termasuklah glukokortikoids, katekolamin, hormon pertumbuhan dan prolaktin. Sesetengah perubahan ini adalah perlu bagi “fight” atau “flight response” untuk melindungi diri sendiri. Sebagai contoh, hormon prolaktin adalah hormon yang dikeluarkan oleh kelenjar pituitari atau kelenjar hipofisis bahagian interior. Prolaktin banyak terdapat pada ibu yang sedang menyusui, kerana ia adalah hormon penting yang merangsang kelenjar susu untuk memproduksi susu, sehingga pada saat diperlukan untuk berfungsi. Hormon ini juga diproduksi oleh plasenta.  Tahap peningkatan dan penurunan perembesan hormon prolaktin adalah bergantung kepada persekitaran yang sedang mengawal seseorang. Oleh itu, ibu yang sedang menyusui haruslah mengelak daripada menghadapi stres, hal ini demikian kerana boleh menganggu kelenjar susu dalam proses penghasilan susu.

Selain itu, antara tindak balas tekanan yang boleh menyebabkan gangguan endokrin seperti penyakit Graves, kegagalan gonad, dwarfisme psikoseksual dan obesiti. Tekanan juga boleh mengubah status klinikal, mengakibatkan banyak gangguan endokrin yang sedia ada seperti pemendakan krisis adrenal dan gangguan tiroid. Douglas (1991) menyatakan “fight or flight” iaitu reaksi fisiologi mahupun psikologi yang timbul apabila individu  menghadapi bahaya yang mengancam dirinya .Stres terjadi apabila seseorang tidak dapat mengatasi masalah yang berpunca daripada tekanan yang dialami dan tidak dapat mengambil tindakan ”fight or flight”. Keadaan sebegini, boleh menyebabkan individu bertingkah laku tidak normal seperti cepat marah, susah untuk bertenang dan sangat gelisah. Di samping itu, tekanan yang melampau boleh menyebabkan sesorang bertindak ganas dan membuat percubaan memcederakan diri sendiri.

Antara kesan stres yang melibatkan fisiologi adalah boleh menyebabkan penyakit kronik seperti masalah kesihatan mental. Masalah kesihatan kronik sebegini terjadi kerana stress boleh dikaitkan dengan tekanan darah yang mengalir secara berlebihan terhadap dinding arteri. Tekanan darah yang meningkat dan berlebihan akan menyebabkan dinding arteri menjadi sempit dan ia menyukarkan darah untuk melaluinya. Tahap stres yang tinggi juga mengakibatkan peningkatan tahap kolesterol dalam saluran darah. Apabila individu mengalami stres, tekanan darah akan meningkat dan menurun. Perubahan yang tidak menentu sebegini boleh menyebabkan saluran darah tercedera serta berfungsi secara tidak normal. Antara penyakit kronik lain yang disebabkan stres ialah penyakit jantung karonari dan gangguan pisikiatri.