Kesan Pembelajaran Online Terhadap Kesihatan Mental Pelajar

Pandemic COVID-19 telah mengubah keseluruhan cara pembelajaran program pendidikan di sekolah-sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi. Banyak isu-isu telah di bincangkan mengenai perubahan pembelajaran secara online telah memberi impak kepada kesihatan mental terutamanya kepada para pelajar sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Pembelajaran online secara umumnya merupakan suatu pembelajaran dengan menggunakan komputer dan media berbasis komputer yang boleh diakses melalui sebuah jaringan(internet). Oleh kerana pembelajaran online ini memerlukan komputer, ada pelajar yang tidak mampu membeli komputer untuk meneruskan pembelajaran secara online. Pelajar akan berasa putus asa kerana tiada kemudahan komputer yang boleh digunakan untuk belajar berbeza dengan kemudahan komputer yang di sediakan di sekolah atau kampus. Pihak kerajaan perlu memainkan peranan dengan memberi sumbangan untuk pelajar membeli komputer dan memberikan komputer kepada pelajar yang tidak berkemampuan. Hal ini, dapat memudahkan pelajar untuk melakukan tugasan mereka kepada pengajar.

Apabila pelajar terlalu banyak berdepan dengan skrin komputer terlalu lama, secara tidak langsung, ia memberi kesan terhadap kesihatan mental pelajar. Hal ini juga memberi kesan terhadap fizikal, emosi dan sosial terhadap pelajar, jika tidak dapat mengimbangi penggunaan komputer semasa pembelajaran dan membuat latihan pembelajaran. Ada kajian mendapati ia ada kaitan dengan screen exposure yang mana apabila kita terdedah dengan skrin selama empat atau lima jam, ia secara tidak langsung akan menyebabkan kita sukar untuk tidur dan kemudian mengalami gangguan emosi. Untuk mengambil langkah supaya hal ini tidak berlaku, guru atau pensyarah boleh melakukan aktiviti seperti mengambil masa untuk melakukan senaman ringan berehat untuk sebentar yang membantu untuk mengelakkan pelajar stress atau kemurungan.

Selain itu, persekitaran dan gangguan pembelajaran di rumah juga dapat memberi tekanan sekali gus memberi kesan terhadap kesihatan mental pelajar. Pelajar juga harus menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran yang baru. Kemudahan yang ada di rumah tidak sama seperti kemudahan di sekolah dan kampus. Ada sesetengah pelajar tidak mempunyai tempat belajar yang sesuai yang menyebabkan mereka terpaksa belajar di atas katil, diatas lantai di samping memberi kesan yang buruk terhadap kesihatan fizikal pelajar berbanding di sekolah atau kampus yang mempunyai kemudahan bilik belajar dan kerusi dan meja belajar. Dalam pada itu, persekitaran yang bising di rumah pelajar yang mempunyai adik beradik kecil juga akan terganggu. Hal ini akan menyukarkan pelajar untuk lebih fokus semasa kelas pembelajaran sedang berjalan. Oleh itu, ibubapa harus menasihati anak kecil agar tidak membuat bising semasa pelajar sedang menghadiri kelas online.

Tambahan pula, gangguan internet semasa pembelajaran juga dapat memberi kesan terhadap kesihatan mental pelajar. Pelajar akan berasa tertekan dengan kelajuan talian internet yang lemah di rumah dan ada sesetengah pelajar tidak mampu untuk membeli internet berbanding dengan kemudahan internet yang di sediakan di sekolah atau kampus. Jika talian internet terganggu, pelajar akan ketinggalan semasa proses pembelajaran yang sedang berjalan. Ia juga menyukarkan pelajar untuk menghantar tugasan kepada guru atau pensyarah pada masa yang telah di tetapkan. Hal ini menyebabkan pelajar kurang semangat untuk belajar dan untuk memahami apa yang telah diajar oleh pengajar. Pelajar juga akan berasa tertekan kerana tidak dapat menghantar tugasan pada masa yang di tetapkan. Justeru itu, kerajaan harus memainkan peranan dengan memberi bantuan pakej internet percuma yang berbaloi untuk pelajar bagi memudahkan pelajar untuk menghadiri pembelajaran online dan pengajar juga perlu memberi kelonggaran masa untuk memudahkan pelajar menghantar tugasan yang diberikan.

Secara amnya, belajar di sekolah atau kampus yang selalunya dihadiri oleh pelajar di kelas ataupun dewan, kini tidak lagi boleh dijalankan sehingga suatu tempoh waktu yang belum ditetapkan. Pelajar dan pengajar juga harus menyesuaikan diri dengan keadaan norma baru ini. Hal ini secara tidak langsung akan menimbulkan masalah kesihatan mental, fizikal, sosial akan berlaku terhadap pelajar dan pengajar juga. Oleh itu, mereka yang mengalami masalah kemurungan dan kerisauan perlu dibantu melalui amalan gaya hidup sihat dan khidmat konsultasi kesihatan mental sekiranya perlu

Source: sinarharian.com, astroawani.com