Kebaikan Di Dalam Setiap Tangisan

Menangis adalah reaksi semula jadi manusia terhadap banyak emosi. Kita menangis sebagai reaksi terhadap tekanan, kekecewaan, kesedihan dan juga kegembiraan. Walaupun menangis merupakan sebuah cara melepaskan perasaan namun sering dipandang sebagai sesuatu yang negatif seperti kelemahan atau terlalu sensitif. Adakah menangis sesuatu yang tidak baik?

Dari sudut kajian saintifik, menangis adalah sesuatu yang baik untuk kesihatan minda dan badan anda. Ramai orang tidak suka menangis kerana pelbagai alasan. Salah satunya adalah bahawa orang berasa muka mereka ketika menangis buruk, ada yang mengeluh bahawa wajah serta mata mereka membengkak dan berubah menjadi merah, tambahan memakan masa untuk sembuh dari wajah menangis juga.

Menangis adalah penting, terutamanya apabila kita menyimpan perasaan yang sukar di dalam diri -dikenali dari segi psikologi sebagai ‘Repressive Coping’ (pengatasian bertindas) boleh membahayakan kesihatan kita. Kajian telah mengaitkan ‘Repressive Coping’ dengan sistem kekebalan tubuh yang lemah, penyakit kardiovaskular dan hipertensi, serta keadaan kesihatan mental termasuk tekanan, kegelisahan, dan kemurungan. Menangis juga terbukti meningkatkan tingkah laku antara orang lain, mendorong silaturahim, empati, dan sokongan dari rakan dan keluarga. Selain itu, air mata mencetuskan rasa empati dan belas kasihan pada orang lain dan melembutkan kemarahan.

Namun jika anda bukan seorang bayi, menangis teralu kerap tanpa sebab yang munasabah merupakan tanda sesuatu yang serius seperti kemurungan atau masalah kesihatan mental yang lain. Sekiranya seseorang sering menangis dan mungkin menunjukkan tanda-tanda kemurungan yang lain, mereka harus berbincang dengan doktor mereka.

Kajian dari Marleen Becht, Jabatan Psikologi Kesihatan Klinikal di Universiti Tilburg, Belanda (2002) menunjukkan wanita lebih kerap menangis daripada lelaki dengan purata 3.5 kali sebulan bagi wanita berbanding 1.9 kali sebulan untuk lelaki. Norma budaya masyarakat global selalu menunjukkan lelaki tidak digalakkan atau disokong untuk menangis. Menangis tidaklah seharusnya dikelihatan sebagai sesuatu yang tidak elok tanpa mengira apa jenis kesusahan atau jantina terutamanya ia melibatkan kesihatan mental kita.

Para saintis telah mengkaji kandungan air mata kita dan mengkategorikannya kepada tiga jenis:

Basal – atau protein / cecair antibakteria yang akan dikeluarkan semasa anda berkelip
Refleks – cecair yang akan dikeluarkan sebagai tindak balas kepada perengsa seperti asap
Emosional – yang satu ini mengandungi tahap kortisol dan adrenalin yang lebih tinggi, kedua-dua hormon stres

Air mata dari dua kategori pertama membantu mata anda melawan bakteria dan iritasi, serta melincirkan mata kita untuk melindungi dari jangkitan. Kandungan dalam air mata adalah 98% air.

Air mata emosi menghilangkan hormon tekanan dan toksin lain dari sistem kita berpotensi memberikan faedah kesihatan yang paling banyak. Para penyelidik telah membuktikan bahawa tangisan melepaskan hormon oksitosin dan opioid endogen, juga dikenali sebagai endorfin. Bahan kimia yang membuatg kita berasa lega ini membantu meringankan kesakitan fizikal dan emosi, termasuklah masa kita sedang menangis apabila melayan cerita yang bermain perasaan.

Jadi janganlah segan untuk menangis dan jangan memalukan seseorang yang sedang menangis. Marilah kita berlawan stigma ‘menangis adalah tanda kelemahan’ dan memupuk tabiat yang lebih positif terhadap kesihatan mental kita.

Sumber: canr.msu.edu, health.harvard.edu