Yayasan Al Ammar Biaya 26 Pelajar Maahad Tahfiz sehingga O-level

Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Al Ammar Prof Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof berkata bagi pengambilan sesi 2020 ini terdapat 10 pelajar baharu yang mendaftar sekaligus menjadikan keseluruhan pelajar seramai 26 orang dari Semenanjung Malaysia.

“Program yang ditaja sepenuhnya selama lima tahun ini bermula selepas mereka menamatkan persekolahan darjah enam dan selepas menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Pengajian mengintengrasikan modul pengajian Hafazan al-Quran dan Islamik bagi dua tahun pertama. Selain itu, kurikulum antarabangsa Cambridge ‘International General Certificate of Secondary Education’ (IGSCE-O-Levels) digunakan pada tahun ketiga selama tiga tahun dengan konsep pembelajaran secara aktif berteraskan kepada sistem pembelajaran yang ditawarkan,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Pendaftaran Pelajar Maahad Tahfiz Al Ammar di Kampung Kanchong, Rantau, di sini, hari ini.

Wan Sabri yang juga Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hal Ehwal Pelajar Universiti Sultan Azlan Shah berkata selepas menamatkan pengajian di peringkat O-Levels, pelajar-pelajar ini mempunyai pilihan untuk belajar di universiti yang telah memeterai perjanjian usahasama antara pihak Yayasan Al Ammar dengan universiti tempatan seperti Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Sultan Azlan Shah, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Kolej Universiti Islam Selangor.

Tambahnya, buat masa ini pengambilan hanya dibuka untuk pelajar lelaki yang berusia 13 tahun.

“Mereka yang dipilih menerusi kriteria dan syarat ditetapkan iaitu dari golongan asnaf atau anak yatim selain mendapat tiga A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) iaitu dalam subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains,” katanya.

Pada majlis itu, Wan Sabri turut merasmikan bilik kuliah untuk pengajian O-Levels yang bermula pada tahun ini.

“Pelajar-pelajar ini akan belajar Cambridge IGCSE O-Levels dan pengkhususan ke arah bidang kejuruteraan, perubatan, perakaunan dan perniagaan di mana program ini diketuai oleh Dr Norhazana Nor Izan,” katanya.

Sementara itu, pengasas Yayasan Al Ammar Arifin Marzuki berkata program pendidikan percuma ini dapat dijayakan atas kekuatan kelestarian ekonomi yang berdasarkan ‘Al Ammar Trust Fund’.

“Syarikat-syarikat yang bernaung di bawah Yayasan Al Ammar bertanggungjawab untuk menjana pendapatan menerusi perniagaan yang disalurkan kepada Al Ammar Trust Fund untuk menampung kos pembelajaran, penginapan dan segala perbelanjaan pelajar tahfiz di sini.

“Alhamdulillah… Allah anugerahkan air mineral semula jadi beroksigen tinggi yang merupakan punca air bawah tanah di kawasan pusat tahfiz ini. Ia telah digunakan bagi pengeluaran air mineral jenama Bubbles O2 yang mula dijual di pasaran di mana, hasil pendapatan air mineral merupakan punca pendapatan bagi menampung sekolah tahfiz ini,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pelajar Muhammad Nur Fadhli Sahizam, 15, berkata beliau teruja untuk memulakan pelajaran akademik O-Levels pada tahun ini setelah berjaya menghafaz Al-Quran dalam tempoh 24 bulan.

“Suasana di sini santai dan menyeronokkan. Selain pembelajaran agama ia juga memberi pengalaman baharu dan mengajar saya untuk lebih berdikari, pandai menghargai masa dan erti bersyukur,” katanya.

Yayasan Al Ammar adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan oleh sekumpulan usahawan muda dalam bidang kejuruteraan minyak dan gas serta tokoh-tokoh akademik dan agamawan sejak Jun 2016.

 

Sumber: Bernama.com