Masalah Mental Kanak-Kanak Malaysia Membimbangkan

Masalah mental dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia kini membimbangkan dan dikenal pasti sebagai ‘wabak tersembunyi’.

Pendedahan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati 424,000 kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah mental.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader, berkata tinjauan yang sama mendapati 9.5 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 15 tahun menderita masalah mental yang mana sejumlah besar daripada mereka adalah penduduk luar bandar iaitu 8.8 peratus dan B40 sebanyak 9.2 peratus.

“Kanak-kanak dari keluarga B40 cenderung dinafikan hak menerima rawatan yang sempurna berikutan ibu bapa mereka yang tidak tahu mengenai isu kesihatan mental.

“Selain bimbang mengenai kos rawatan yang tinggi dan sering sibuk memenuhi keperluan hidup,” katanya kepada BH.

Mohideen berkata, harapan ibu bapa terhadap kecemerlangan akademik dan tekanan di sekolah juga menyumbang kepada kesihatan mental kanak-kanak berikutan peningkatan kecenderungan membunuh diri dalam kalangan remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun.

“Hakikatnya, kira-kira 60 peratus daripada rakyat Malaysia yang mengalami gangguan mental tidak pernah mendapatkan bantuan profesional kesihatan.

“CAP menggesa rakyat Malaysia berempati dengan individu yang mengalami gangguan mental memandangkan mereka sering dicela, didiskriminasi dan diabaikan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, CAP menggesa supaya pihak berkaitan termasuk kerajaan supaya menganjurkan lebih banyak ceramah kesihatan mental berikutan kepentingannya dalam membantu ibu bapa mengenal tanda awal dan gejala gangguan mental.

“Kajian juga perlu dijalankan bagi mengenal pasti penyebab masalah kesihatan mental terutama di kawasan luar bandar yang mana kesnya amat tinggi,” katanya.

Sumber :bharian.com.my