Cara Terbaik Untuk Jawab Soalan “Perkenalkan Diri Anda” Semasa Temuduga

“Sila Perkenalkan Diri Anda?” atau “Terangkan Tentang Diri Anda?. Anda tahu tak yang 99% sesi temuduga akan dimulai dengan soalan ini? Soalan yang nampak begitu mudah dan simple bukan?

Malah, ada calon beranggapan bahawa soalan ini masih boleh dijawab walaupun tanpa persediaan rapi dibuat.

Ya lah, soalan tentang perkenalkan diri sendiri. Dah tentu mudah…

JANGAN BUAT ANGGAPAN AWAL

Anda salah jika beranggapan demikian. Walaupun soalan ini dilihat mudah untuk dijawab tetapi jangan sesekali mengambil jalan mudah untuk menjawabnya. Ingat! soalan ini akan ditanya pada fasa awal sesi temuduga.

Jadi, cara anda menjawab soalan ini akan menjadi first impression penemuduga buat anda. Jika baik cara anda menjawab soalan ini maka baiklah “expectation” penemuduga tersebut terhadap anda dan begitu juga sebaliknya.

Oleh itu, pastikan anda bersedia dengan jawapan yang padat dan menarik untuk soalan “Perkenalkan Diri Anda” yang bakal ditanya oleh penemuduga ini. Masalah yang mungkin anda hadapi adalah kekurangan idea kerana soalan ini berbentuk simple serta membawa anda ke arah jawapan yang sempit.

Jangan bimbang! Kami akan kongsikan dengan anda Cara Terbaik Untuk Jawab Soalan “Perkenalkan Diri Anda” Semasa Temuduga dalam artikel ini. Anda bolehlah menggunakan cara-cara yang dikongsi ini sebagai panduan semasa temuduga kelak. Berikut merupakan cara-caranya.

 

BUAT PEMERHATIAN

Umum mengetahui bahawa setiap penemuduga ingin mendengar jawapan yang positif, releven dan menarik. Jadi, walaupun soalan ini mudah, namun anda perlulah menyediakan jawapan yang impresif.

Dalam menyediakan jawapan yang impresif ini, anda memerlukan sedikit pemerhatian. Buat pemerhatian tentang ciri-ciri yang diperlukan oleh penemuduga di syarikat itu. Baca dahulu deskripsi jawatan yang anda mohon untuk mengetahui ciri apa yang diperlukan dalam diri anda.

Sebagai contoh, sekiranya kerjaya yang anda pohon itu memerlukan skil multitasking pastinya anda perlu memiliki ciri ketahanan mampu bekerja dengan baik walaupun ketika stres.

SERTAKAN SEKALI PENGALAMAN ANDA

Sila sertakan sekali pengalaman anda bersama jawapan yang anda berikan. Sebagai contoh, jika kerjaya yang anda pohon itu memerlukan seorang pekerja yang mampu bekerja baik dalam kumpulan.

Penemuduga akan bertanya “Perkenalkan Diri Anda.” Pastinya anda akan menjawab ciri ini iaitu “Saya seorang yang mampu bekerja dengan baik dalam pasukan.” Masukkan sekali pengalaman anda selepas jawapan contohnya seperti ini.

“Buktinya, ketika saya teambuilding yang lepas, saya telah dianugerahkan sijil peserta terbaik kerana memberikan kerjasama yang bagus kepada pasukan untuk menjayakan sesuatu aktiviti.”

CONTOH JAWAPAN PENUH KEPADA SOALAN “PERKENALKAN DIRI ANDA”

Berikut disediakan contoh jawapan penuh kepada soalan “Perkenalkan Diri Anda” sebagai panduan buat anda.

“Saya merupakan seorang yang sangat bermotivasi tinggi dan sangat suka bekerja dalam pasukan. Saya juga mampu bekerja dengan baik dalam pasukan. Dalam pekerjaan lama saya, saya berpengalaman bekerja dalam kumpulan. Satu kumpulan terdiri daripada 12 orang pekerja. Saya telah mengetuai kumpulan ini. Setiap hari akan saya adakan perjumpaan bagi membincangkan ehwal kerja di samping perancangan dalam bergerak sebagai satu unit. Di samping itu, kami juga turut berinteraksi dengan kumpulan-kumpulan lain seperti tim Jualan, Customer Services dan lain-lain.”

 

CONTOH SOALAN YANG BERKAITAN

Selain bertanya soalan “Perkenalkan Diri Anda”, penemuduga juga boleh bertanya soalan seperti ini kepada anda. “Sila pilih satu perkataan sahaja yang menerangkan tentang diri anda.” Jika diteliti maksud soalan ini sama juga seperti soalan “Perkenalkan Diri Anda” cuma soalan bentuk ini lebih spesifik.

Sekiranya ditanyakan soalan-soalan seperti ini, perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah mencari perkataan yang sesuai untuk menerangkan diri anda. Kemudian, barulah anda perlu memberikan sebab dan sertakan juga contoh. Jangan hanya sebut satu perkataan kemudian diam. Soalan seperti ini memerlukan anda untuk memberi sebab.

Berikut adalah beberapa contoh perkataan yang boleh anda gunakan jika ditanya soalan seperti ini oleh penemuduga.

  • Energetik
  • Berwawasan
  • Bijak
  • Bekerjasama
  • Bermaklumat

CONTOH JAWAPAN PENUH KEPADA SOALAN “PILIH PERKATAAN YANG MENERANGKAN DIRI ANDA”

Kami turut menyediakan contoh jawapan penuh buat soalan ini. Berikut merupakan jawapannya. Anda bolehlah gunakan contoh jawapan ini sebagai panduan.

“Perkataan yang sesuai untuk menerangkan diri saya adalah berwawasan. Berwawasan di sini membawa maksud saya mempunyai target serta visi dan misi saya sendiri dalam pekerjaan ini. Sebab utama saya memilih kerjaya ini adalah untuk mencabar diri saya di samping ingin menambahkan lagi ilmu pengetahuan dalam bidang ini. Saya ada membuat bacaan tentang syarikat tuan dan mendapati budaya kerja di syarikat ini sangat sesuai dengan saya.”

 

KESALAHAN YANG SELALU DILAKUKAN

Terdapat beberapa kesalahan yang sering dilakukan oleh calon temuduga berkaitan dengan soalan ini berdasarkan pemerhatian yang dibuat pada siri-siri temuduga yang lalu. Antara kesalahan-kesalahan tersebut adalah seperti berikut:

Calon bercakap terlalu cepat sehingga menyebabkan penemuduga terlepas beberapa isi percakapan anda. Jangan kalut atau terburu-buru! Sentiasa rileks. Ambil masa anda dalam menjawab pertanyaan penemuduga itu sekurang-kurangnya 30 hingga 60 saat.

Sekiranya anda terburu-buru, penemuduga bukan sahaja terlepas isi percakapan anda malah beliau mungkin akan menganggap skil komunikasi anda lemah.

Kesalahan lain yang sering dilakukan oleh calon temuduga adalah tidak memberikan penerangan yang terperinci. Sebagai contoh, anda menjawab bahawa anda seorang yang sangat suka bekerjasama tetapi anda tidak memberi penerangan terhadap isi tersebut malah contoh pengalaman anda juga tidak ada. Ini akan menjejaskan markah anda.

Jadi, kami berharap agar anda jauhi kesalahan-kesalahan ini dan membuat yang terbaik dalam temuduga anda. Semoga artikel ini memberi manfaat kepada anda. Ingat! Jangan gelabah atau terburu-buru. Jawablah pertanyaan penemuduga dengan tenang. Selamat berjaya!

Sumber: kerjaya.co