Berpesan-pesan Demi Kebaikan Bersama

Southeast Asian family surfing internet at home. Muslim family living lifestyle

Kita jaga kita. Dalam keadaan sekarang ini, sikap pentingkan diri sendiri dan tidak menjaga tepi kain orang perlu disisihkan. Demi kemaslahatan dan kebaikan bersama kita amalkan budaya saling nasihat menasihati antara satu sama lain.

Saranan kerajaan berkaitan pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, amalan mencuci tangan menggunakan sabun, penjarakan fizikal mahupun penjagaan kebersihan diri jangan diabaikan. Malahan, kita sama-sama mengamalkan sikap tegur-menegur dan saling menasihati antara satu sama lain dalam usaha membendung wabak COVID-19 daripada terus merebak.

Berpesan Antara Satu Sama Lain

Kita seharusnya sedar, dalam keadaan kita masih berusaha melawan COVID-19 ini, etika dan integriti ini merupakan perkara paling asas dalam pematuhan SOP dan amalan norma baharu kepada semua pihak yang terlibat.

Lebih membimbangkan, usaha dan inisiatif kerajaan untuk memutuskan rantaian COVID-19 boleh diibaratkan seperti mencurah air ke daun keladi – langsung tidak meresap ke hati sebahagian rakyat Malaysia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri telah mengeluarkan amaran bahawa COVID-19 tidak akan dapat dihapuskan sepenuhnya dan meminta penduduk dunia untuk menerima hakikat tersebut dan belajar hidup dengannya.

1. Menegur rakan atau individu yang tidak dikenali dengan berhemah.

Jika anda keluar bersama-sama rakan ke tempat awam, pastikan rakan-rakan anda mengamalkan SOP dan amalan norma baru yang betul. Tegur mereka dengan cara yang terbaik jika mereka tidak mengikuti SOP yang telah ditetapkan.

Namun, jika anda di tempat awam dan dikelilingi dengan individu-individu yang tidak dikenali dan tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Anda boleh menegurnya dengan menggunakan isyarat tangan dan menundukkan kepala anda sedikit sebagai tanda sopan dan berperibahasa dalam menegur.

2. Dewasa menjadi contoh teladan yang baik kepada yang lebih muda.

Ibu bapa menjadi contoh kepada anak-anak. Abang kakak menjadi contoh kepada adik-adik. Begitulah jua yang dewasa menjadi contoh kepada yang lebih muda.

Tambahan pula, kanak-kanak bersikap suka mengikut apa-apa perbuatan seseorang yang dilihat. Oleh hal yang demikian, sebagai individu yang lebih berpengetahuan dan matang tunjukkan contoh yang terbaik kepada kanak-kanak.

Selain itu, kanak-kanak dan individu yang kurang upaya seperti orang tua-tua harus dititik beratkan keselamatan dan kesihatan mereka. Hal ini kerana, mereka merupakan golongan yang mudah terdedah kepada penyakit.

3. Menyebarkan tip-tips atau maklumat yang bermanfaat kepada kenalan di laman sosial.

Kajian Menunjukkan Cinta Boleh Berputik Melalui 30 Panggilan Telefon? Betul  Ke? - Pesona Pengantin

Sebagai langkah yang lebih selamat, media sosial merupaka medium terbaik dan terpantas dalam menguar-uarkan sebarang berita dan maklumat.

Menegur dan memberi nasihat bukanlah sesuatu yang mudah dan tidak semua mampu melakukannya. Oleh hal yang demikian, jika mulut tidak mampu berbicara, gunakan hujung jari anda dengan penuh berhemah untuk menasihati dan berkongsi maklumat-maklumat berkaitan yang penting di media sosial.

Semua sedia maklum, Malaysia kini berada pada tahap yang cukup kompetitif dan diiktiraf dunia dalam aspek kawalan penularan COVID-19, justeru pilihan kini di tangan kita sendiri – mahu menjadi masyarakat bertanggungjawab dan beretika atau menjadi gunting dalam lipatan melalui tindak tanduk dan perbuatan kita.

Tidak ada seorang pun antara kita ingin menjadi pencetus atau penyumbang kepada pertambahan kluster baharu. Lebih utama lagi, tidak ada sesiapa pun yang ingin melalui fasa PKP sekali lagi yang pastinya akan mengakibatkan lebih banyak kerugian kepada kerajaan dan sektor perniagaan itu sendiri.

Maka, jalankan peranan anda. Ayuh bersama jalani kehidupan beretika pasca PKPB!