9 Kerjaya Dari Kursus Senibina Yang Bukan Sahaja Membina Banggunan

Tahukah anda, kursus seni bina bukan sahaja terhad untuk hanya menjadi seorang arkitek? Malah dari jurusan ini, anda masih boleh melanjutkan kerjaya bidang lain yang berkait dengan dunia seni bina. Di sini MyCompass telah menyediakan 9 jenis profesyen yang anda boleh kenali dengan lebih dekat jika anda mahu melanjutkan pelajaran anda ke bidang seni bina!

1. Arkitek Senibina Lanskap

Senibina lanskap adalah pengembangan dan penanaman hiasan, kebun, halaman, taman, infrastruktur awam dan ruang luar penuh kehijauan yang terancang sesuai untuk dinikmati oleh masyarakat. Senibina lanskap juga digunakan untuk meningkatkan keindahan alam dan melahirkan suasana semula jadi untuk persekitaran bangunan, kota, dan bandaran. Ini adalah salah satu seni hiasan dan berkait dengan seni bina, perancangan bandar, dan hortikultur dengan mempertimbangkan proses sosial dan semula jadi bertujuan untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan manusia dan alam sekitar.

2. Arkitek Pemulihan Senibina

Arkitek pemulihan seni bina pakar dalam pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan dan monumen bersejarah. Tujuan memulihkan bangunan dan monumen ini adalah untuk mengelakkan kerosakan serta mengekalkan aspek-aspek asli seperti yang asal. Arkitek pemulihan seni bina turut memastikan bangunan tersebut adalah selamat dan dapat menampung untuk kegunaan orang ramai. Kerjaya ini penting untuk mengekalkan sejarah dan budaya lokal untuk dinikmati oleh generasi yang akan datang.

 

3. Pereka Dalaman

Pereka dalaman terlibat dalam reka bentuk atau pengubahsuaian ruang dalaman sesebuah banggunan atau rumah termasuk menyusun dan menghias ruang untuk memaksimakan pengunaan dan nilai estetik. Kerjaya ini memerlukan kepekaan reka bentuk estetik yang kuat yang merangkumi pengetahuan tentang elemen seperti warna, jenis kain, pencahayaan, keperluan ruang, dan trend reka bentuk atau stail semasa. Pereka dalaman harus berunding dengan pelanggan atau firma untuk memastikan mereka berpuas hati dengan perubahan atau rekaan tersebut. Reka bentuk dalaman yang baik membangkitkan suasana kebahagiaan dan menenangkan jiwa. Ia dapat memlahirkan keyakinan, kebanggaan, kreativiti, keselamatan dan tenaga baik.

 

4. Rekaan Produksi

Bagi mereka yang lebih cenderung terhadap senibina hiburan, merancang set teater dan filem adalah salah satu cabang senibina yang lebih kreatif. Konsep reka bentuk dan ekspresi gubahan senibina mengkaitkan pengalaman dan mood yang relatif berdasarkan cerita, sementara masih menggunakan semua pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh seseorang dari pendidikan dalam bidang senibina. Mereka mengenal pasti gaya reka bentuk untuk set, lokasi, grafik, alat peraga, pencahayaan, sudut kamera dan kostum, sambil bekerja rapat dengan pengarah dan penerbit.

 

5. Teknologis Perisian Senibina

Perisian 3d telah menjadi sinonim di dalam dunia seni bina pada zaman digital ini. Selain mereka perisian untuk membantu pengguna menghasilkan simulasi sebenar mengikut skala seni bina, teknologi seni bina juga mengajar dan menolong pelanggan menggunakan perisian mereka. Dari aspek bangunan, tekstur, pencahayaan, kamera, simulasi cuaca dan aspek 3D yang lain membantu memaksimumkan potensi perisian mereka untuk digunakan pengguna untuk mencapai hasil yang diinginkan. Sebilangan besar ahli teknologi seni bina juga membuat objek atau aset stok 3d yang dapat dijadikan sebagai templat untuk pengguna perisian, menjadikan lukisan digital ini lebih mudah dan mesra untuk digunakan. Malah ia juga boeh dijadikan ke dalam format VR yang membuat binaan 3d tersebut lebih imersif, membolehkan arkitek dan pelanggan sama-sama memahami kualiti ruang projek.

 

6. Pereka Persekitaran Permainan Video

Salah satu kelebihan dari membelajar perisian 3d di dalam kursus seni bina, kemahiran ini amat dikehendaki di dalam pasaran permainan video terutama untuk merekakan banggunan serta persekitaran lanskap yang lebih realistik. Cabaran untuk mencipta seni bina dan dalaman dimulakan dengan iterasi konseptual ditambah dengan prosedur yang dipelajari untuk memahami keperluan orang yang menempati ruang yang diinginkan. Proses kreatif ini dapat diaplikasikan bukan hanya pada lingkungan binaan, tetapi juga ke dunia maya.

 

7. Pereka Industri

Reka bentuk industri memfokus pada objek dan pengeluaran berskala besar seperti peranti, objek, perabot dan perkhidmatan yang diperlukan oleh pengguna, berbanding bangunan berskala besar. Adakah ia senang digunakan dan sesuai untuk dipakai kan dirumah? Adakah stail nya tidak sesuai untuk konsep rekaan tertentu? Pereka industrial menangani masalah reka bentuk objek yang dihasilkan, termasuk masalah merancang objek tersebut dengan mempertimbangkan bahan yang ada dan bagaimana ia memberi impak kepada pengguna. Antara rekaan industri adalah seperti tombol pintu, ampaian baju, sistem keselamatan, rekaan dapur atau kemudahan di dalam bilik air.

 

8. Reka Bentuk Tekstil Senibina

Reka bentuk tekstil adalah bidang kreatif yang merangkumi reka bentuk fesyen, permukaan percetakan dan tekstur objek tertentu. Ia turut merangkumi aspek keselamatan dan pengunaan selain dari rupa dan gaya sebuah objek. Sebagai contoh, jubin yang digunakan untuk bilik air dan dapur basah haruslah kasar supaya ia tidak licin apabila ia basah, jenis kain yang digunakan terhadap sesuatu rekabentuk sesuai dengan cuaca serta kegunaan harian. Bahan yang digunakan juga diambil kira untuk menghasilkan sebuah senibina yang kukuh, selamat dan bergaya.

 

9. Konsultan GBI (Green Building Index)

Green Building Index atau Indeks Bangunan Hijau adalah salah satu kriteria yang menunjukkan bangunan tersebut memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan penggunaan sumber seperti tenaga, air dan bahan, sambil mengurangkan kesan bangunan terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar semasa kitaran hidup bangunan, melalui penempatan, reka bentuk, pembinaan, operasi, penyelenggaraan, dan penyingkiran yang lebih baik dan selamat. Bangunan Hijau harus dirancang dan dikendalikan untuk mengurangkan kesan keseluruhan persekitaran binaan terhadap persekitarannya. Konsultan GBI memberikan perkhidmatan profesional untuk membantu merancang projek pembinaan untuk mencapai penilaian hijau yang anda inginkan dengan bekerjasama dengan pasukan perunding pelanggan supaya banggunan tersebut mencapai tahap penilaian GBI yang diinginkan. Ini untuk memastikan pembangunan tidak menjejaskan generasi masa depan dan mempromosi ekosistem yang lebih terpelihara.