Tips Mengatasi Kebimbangan Semasa COVID-19

Elakkan diri anda dari rasa bimbang, risau yang melampau dan terlalu memikir disaat getir ini. Duduk rumah diam-diam dan jaga diri anda serta keluarga tersayang.

Utamakan Kesejahteraan Kesihatan Mental Anda.

Perkongsian menarik daripada Dr. Hilwa Binti Abdullah. Beliau merupakan salah seorang pakar dalam bidang Psikologi dan merupakan salah seorang pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UKM Bangi. Beberapa tips telah dihuraikan oleh beliau sebagai langkah awal kepada semua untuk mengatasi masalah kebimbangan yang melampau di musim COVID-19 sekarang ini.

1. Tukarkan tenaga bimbang anda kepada tindakan:

  • dapatkan maklumat
  • buat perancangan
  • lakukan persediaan

Antaranya ialah dengan mendapatkan maklumat berkaitan fakta dan statistik COVID-19 daripada sumber yang benar, mengikut perintah dan saranan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan dan merancang aktiviti yang anda boleh lakukan bersama dengan keluarga semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) lanjutan ini.

2. Had atau elak maklumat yang tidak tepat dan tidak membantu

Semakin banyak anda membaca atau mendengar berita yang boleh menyebabkan anda bimbang, anda akan menjadi lebih cemas dan risau. Ini akan membuatkan anda makin sukar untuk mengalihkan perhatian kepada sesuatu yang memberi manfaat, mengakibatkan anda fokus kepada perasaan bimbang yang berlebihan.

3. Hentikan tingkah laku yang boleh menambahkan lagi kebimbangan anda

Tingkah laku seperti kerap mendapatkan kepastian dan pengesahan dari “Dr. Google” boleh menimbulkan rasa bimbang dan cemas kerana anda terlalu fokus pada gejala kecil yang mungkin tidak wujud pada tubuh anda.

Gantikan dengan mengadaptasi strategi daya tindak yang bersesuaian dengan anda kerana ia membantu mengurangkan  rasa bimbang dalam fikiran anda.

4. Tumpukan perhatian pada waktu sekarang dan lakukan setiap perkara sedikit demi sedikit setiap hari

  • Fikirkan perkara yang berlaku pada waktu sekarang, elakkan berfikir perkara yang lepas atau perkara di masa akan datang.
  • Hargai waktu yang ada sekarang.
  • Lakukan satu perkara yang kecil supaya anda mampu menyelesaikan pada hari tu juga.

5. Berhati-hati dengan pemikiran negatif

JANGAN BIARKAN PERKARA NEGATIF MENGUASAI ANDA

Apa yang anda fikir tidak semestinya benar.Oleh itu, apabila anda mendapati diri anda bimbang disebabkan oleh pemikiran negatif, anda perlu berehat seketika, dan cuba biarkan kebimbangan berlalu tanpa memberi tumpuan yang terlalu banyak kepada pemikiran negatif itu.

6. Jaga kesihatan tubuh badan anda

  • Dapatkan tidur yang secukupnya
  • Amalkan pemakanan yang sihat
  • Elakkan merokok atau minum arak

7. Kerap berhubung dengan individu yang mengambil berat tentang anda

Anda boleh berhubung terus dengan mereka melalui panggilan telefon atau aplikasi media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Telegram, Skype atau Zoom

8. Bantu orang lain, jadi orang yang lebih baik yang penuh dengan belas kasihan pada orang lain

Apabila anda bantu orang yang berada dalam kesusahan, anda akan merasai satu perasaan yang indah dan ini akan menjadikan anda seorang yang lebih baik, bertimbang rasa, berempati dan tinggi sifat kasih sayang.

9. Amalkan teknik pernafasan yang panjang

Teknik pernafasan yang panjang atau ‘deep breathing’ mampu membuatkan anda lebih relaks dan mengurangkan rasa bimbang yang anda alami.

Caranya ialah:

  1. Tarik nafas perlahan-lahan melalui hidung, dan biarkan bahu anda berada dalam dalam keadaan relaks.
  2. Hembus nafas perlahan-lahan melalui mulut, dan biarkan rahang anda berada dalam keadaan relaks.
  3. Ulang teknik pernafasan panjang ini beberapa kali seberapa banyak anda rasa perlu sehingga anda merasai kesannya (kurang rasa bimbang).

10. Jika anda masih berasa bimbang setelah cuba melakukan tips di atas, sila berjumpa dengan pakar profesional bagi mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan seterusnya.

  • Mendapatkan khidmat nasihat melalui panggilan telefon kepada kaunselor di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
  • Mendapatkan khidmat nasihat secara bersemuka dengan mana-mana kaunselor JKM atau yang dikenali.