Rebutlah Peluang Yang Ada

Adakalanya banyak peluang berharga yang muncul dalam hidup kita tapi kita tidak menyedari akan peluang yang datang itu. Peluang itu mungkin muncul pada hari ini, esok atau pada bila-bila masa sahaja. Memang banyak peluang yang datang tapi ianya mungkin akan berlalu begitu saja jika kita tidak menyedarinya.

Ramai orang yang telah mengecapi kebahagiaan daripada peluang yang datang dalam hidup mereka kerana mereka nampak akan peluang berharga itu. Ramai juga orang yang telah menyesal kerana mereka menyedari yang mereka telah terlepas peluang yang sangat berharga dalam hidup mereka.

Persoalannya dimanakah kita berada? Sebelum kita menyesal dikemudian hari kenapa kita merebut peluang yang ada itu terlebih dahulu.

Peluang untuk melakukan kebaikan

Berlumba-lumbalah kita semua dalam melakukan amal kebaikan. Ini kerana banyak pahala yang akan kita perolehi. Banyak peluang untuk melakukan kebaikan yang anda boleh lakukan. Terutamanya kepada ibu-bapa, adik beradik, saudara mara, sahabat handai, jiran dan ramai lagi. Ambillah peluang ini untuk melakukan apa sahaja kebaikan yang mampu kita lakukan kepada mereka selagi mereka masih ada didunia ini. Sekecil-kecil kebaikan yang boleh anda lakukan kepada mereka adalah dengan berdoa untuk kesejahteraan mereka dunia dan akhirat. Doa mampu dilakukan oleh kita semua untuk kebaikan sesama manusia.

Peluang untuk melakukan ibadah

Setiap amalan yang kita lakukan adalah satu ibadah jika kita meniatkannya kerana Allah. Kita juga perlu berdoa supaya setiap amalan yang kita lakukan akan diberkati olehNya dan akan membantu memudahkan urusan kita seharian. Ibadah solat yang kita lakukan seharian adalah menjadi kewajipan untuk kita lakukan dengan sempurna. Kerana solat jugalah ibadah pertama sekali yang akan dihisab di akhirat nanti. Jika sempurna solat maka sempurnalah segala ibadah-ibadah lain yang kita lakukan. Sekiranya solat itu dapat dilakukan secara berjemaah ianya adalah lebih baik dari solat secara bersendirian. Rebutlah peluang untuk mendapatkan ganjaran pahala solat berjemaah yang sangat besar di sisi Allah.

Peluang menuntut ilmu

Menuntut ilmu adalah satu amalan jihad di jalan Allah. Seseorang yang mempunyai banyak ilmu akan dipandang mulia oleh masyarakat. Dengan ilmu anda akan dapat membimbing diri sendiri dan juga dapat membimbing orang lain juga.  Tanpa ilmu anda tidak akan berjaya di dunia dan juga akhirat. Tuntutlah apa sahaja ilmu selagi ianya dapat memberi manfaat kepada anda. Ramai remaja pada hari ini yang menyalah gunakan masa muda yang ada dengan melakukan perkara-perkara yang lalai dan membuang masa dengan sia-sia. Betapa ruginya mereka yang lalai semasa muda. Alangkah bagusnya jika masa muda mereka diisi dengan menuntut ilmu yang dapat digunakan untuk mencapai kejayaan di masa hadapan.

Peluang mencari rezeki

Bersyukurlah kita kepada Allah atas segala nikmat rezeki yang kita perolehi pada hari ini. Bagi anda yang telah bekerja janganlah timbul rasa tidak puas hati dengan kerja yang sedang anda lakukan sekarang ini. Sebaiknya lakukanlah kerja anda sekarang dengan hati yang ikhlas supaya rezeki yang anda perolehi akan sentiasa diberkati olehNya. Dalam mencari rezeki janganlah ada perasaan tamak untuk mengumpul harta yang banyak kerana ianya satu perbuatan yang tidak baik dan sangat dibenci oleh orang lain juga. Walaupun sumber rezeki yang anda perolehi itu sedikit tidak mengapa asalkan rezeki yang anda perolehi itu adalah dari sumber yang halal ianya sudah mencukupi sebenarnya.

Mencari dan mencipta peluang

Disamping mencari peluang yang ada, mencipta peluang untuk orang lain juga adalah satu perkara yang baik. Jika anda memiliki sebuah perniagaan atau apa sahaja bentuk peluang mencari rezeki, dengan membuka peluang pekerjaan kepada orang lain secara tidak langsung anda telah membantu orang lain yang memerlukan. Jadilah orang yang mudah mesra dengan orang lain dengan berkongsi kebahagiaan, kesenangan dan keseronokan dengan mereka. Bantulah orang lain yang mempunyai masalah supaya mereka juga akan dapat mengecapi kebahagiaan. Kita hanya mampu merancang tapi Allah yang menentukan.

 

Sumber: Layar Sukses