Ramadan : Bulan Pengharapan

Umat Islam akan menyambut bulan Ramadan yang saban tahun dinanti dengan penuh kegembiraan dan pengharapan. Antara doa yang tidak lekang di bibir Nabi SAW dan diajarkan kepada kita ialah “Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, serta sampaikanlah (berkatilah) kami pada bulan Ramadan.” Orang-orang soleh pada zaman dahulu melakukan persediaan awal sebelum Ramadan dengan berdoa. Mereka memohon kepada Allah SWT lebih awal supaya Allah sampaikan mereka ke dalam bulan Ramadan dalam keadaan yang paling terbaik dari segi rohani (iman) dan jasmani (kesihatan fizikal).

Kelebihan bulan Ramadan juga ialah difardukan puasa di dalamnya. Puasa merupakan setinggi-tinggi amalan bagi mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Taala dan puasa juga sebagai penghapus dosa-dosa atas maksiat yang dilakukan.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah Radhiyallahu Anhu, bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang ertinya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu”. – (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Syarat utama puasa diterima adalah seseorang itu mesti beriman kemudian diiringi dengan ihtisab (mengharap balasan baik daripada Allah). Pengharapan terbina atas dasar iman dan ilmu. Maka, persiapan iman sebelum masuk ke bulan Ramadan adalah amat penting dilakukan dengan bersungguh-sungguh. 

Tidak hairanlah ada sebahagian ulama menyebut ibadat puasa sebagai al-Riadhah al-Sanawiyyah yang bermaksud latihan kerohanian yang bersifat tahunan dan ada juga menyebut Madrasah Ramadhaniyyah yang bererti tempat didikan Ramadan. Ini kerana Ramadan satu bulan yang menumpukan aspek pembinaan insan dalam pelbagai dimensi kehidupan agar seusainya Ramadan akan lahir insan bertakwa, berjiwa kental, berakhlak terbilang dan beristiqamah yang berupaya memacu upaya menuju kecemerlangan dunia serta kebahagiaan abadi di akhirat.