Pendidikan Awal Kanak-Kanak Bermula Dari Rumah

Tidak dapat dinafikan bahawa perkembangan kanak-kanak bermula dari rumah samaada dari sudut fizikal mahupun kognitif.  Ibu-bapa merupakan penyumbang terpenting kepada pembangunan bahasa dan pertuturan kanak-kanak.

Anak-anak merupakan anugerah Allah yang paling bermakna buat setiap pasangan. Didikan yang diberikan oleh ibu bapa seharusnya sejajar dengan perkembangan kognitif anak-anak mereka. Oleh hal demikian, jangan anggap  apabila anak anda memulakan pengajian di tadika atau pra-sekolah, tugas anda telah selesai. Kajian terus menunjukkan kepentingan untuk melibatkan diri  dalam pendidikan kanak-kanak bermula dari pra-sekolah dan terus kekal berbuat demikian sehingga mereka berada di kolej.

Peringkat Perkembangan Kognitif Teori Piaget

Menurut Piaget, proses pemikiran kita berubah secara menyeluruh bermula selepas lahir sehingga kita mencapai kematangan. Setiap individu akan sentiasa mencuba untuk memahami dan mengadaptasi perubahan-perubahan yang berlaku di persekitaran mereka.

1.Peringkat Sensori Motor ( 0 hingga 2 tahun )

Pada peringkat umur bayi, mereka belajar melalui interaksi deria dengan persekitarannya. Sebagai contoh, bayi akan mengangkat benda, memain-mainkannya, merasa dan menggigitnya. Di samping itu, mereka memerhatikan benda itu melalui penglihatan dan pendengaran bunyi. Di peringkat umur dua tahun, bayi memperoleh kepercayaan tentang pengekalan objek, iaitu objek itu akan terus wujud walaupun objek tersebut tidak dapat dilihat dan disentuh. Selain itu, mereka dapat melakukan tindakan ulangan seperti menghisap ibu jari. Pada peringkat ini juga, mereka mula meniru perlakuan yang tidak pernah mereka lakukan sebelum ini. Mereka mempelajari perlakuan ini melalui pemerhatian terhadap orang lain atau melalui objek yang dapat dilihat dan disentuhnya. Kesimpulannya, pembelajaran kanak-kanak pada tahap ini bergantung kepada pengalaman sensori dan motor iaitu dengan menggenggam, menghisap dan lain-lain.

2. Peringkat Praoperasi ( 2 hingga 7 tahun )

Pada peringkat ini, kanak-kanak mula berfikir secara lojik tetapi belum boleh menguasai kebolehan memproses kemahiran berfikir mengikut peraturan-peraturan yang lojik. Namun begitu, kanak-kanak mula mempraktikkan kemahiran yang baru diperoleh dengan menggunakan simbol untuk mewakili objek. Ini dapat dilihat dari sifat pemikiran simbolik melalui permainan olok-olok, animisme dan egosentrik. Salah satu aktiviti pemikiran simbol ialah lakonan drama yang menjadi pengalaman hidup. Berdasarkan pengalaman, kanak-kanak pada peringkat ini suka bermain masak-masak, berlagak menjadi doktor, dan berlagak sebagai penjual dan pembeli. Lakonan ini juga adalah permainan olok-olok. Penggunaan bahasa kanak-kanak pada peringkat ini berkembang maju. Kanak-kanak masih belum mampu membezakan antara benda bernyawa dan tidak bernyawa yang mana mereka percaya bahawa benda tidak bernyawa seperti pokok boleh bercakap seperti manusia. Piaget menyebut keadaan ini sebagai animisme.

            Pada permulaan peringkat praoperasi, kanak-kanak mempunyai kesukaran mengoperasi konsep, misalnya mereka tidak dapat mengira mengikut urutan dari satu hingga sepuluh. Oleh itu, pada peringkat ini pengajaran kanak-kanak hendaklah sesuai dengan tahap mereka.

3. Peringkat Operasi yang Konkrit ( 7 hingga 11 tahun )

Pada peringkat sekolah rendah, pemikiran kanak-kanak lebih fleksibel, dapat berfikir melalui peraturan lojik atau melakukan operasi mental dengan tersusun. Kanak-kanak hanya boleh melaksanakan pemikiran lojik dalam keadaan yang konkrit atau menggunakan bahan maujud.

4. Peringkat Operasi Formal ( 11 hingga 15 tahun )

Pada peringkat ini, mereka tidak lagi dikenali sebagai kanak-kanak tetapi remaja. Piaget berpendapat mereka dapat berfikir secara lojik, termasuk pemikiran abstrak dan membuat hipotesis. Mereka juga berupaya menyelesaikan masalah yang konkrit dan abstrak dengan penguasaan kebolehan penyelesaian masalah yang dikombinasikan pengetahuan, pengalamnan dan kemahiran. Pendekatanpengajaran pula melibatkan penggunaan kaedah lisan yang lebih banyak. Pelajar di sekolah menengah digalakkan mendengar, membaca dan berbincang, kemudian melakukan latihan.

Kutamaan Penglibatan Ibu Bapa Bersama Anak-anak.

 Kajian mendapati kanak-kanak yang mempunyai ibu-bapa yang membaca untuk mereka didapati mempunyai perkembangan membaca yang lebih pesat dan mereka cenderung untuk lebih cemerlang berbanding kanak-kanak lain. Hal ini jelas menunjukkan kepentingan dan kebaikan penglibatan antara ibu bapa bersama anak-anak.

Gunakan TV dan Internet sebagai alat pembelajaran

Ruang dan kelapangan masa yang ada sepanjang tempoh PKP ini jadikanlah TV dan Internet sebagai medium untuk anak-anak anda belajar. Televisyen dan Internet akan sentiasa menjadi godaan yang sukar dielakkan oleh anak-anak anda. Namun, dengan mengekang jumlah masa yang boleh anak anda gunakan untuk berada di hadapan TV atau Internet dan menonton program pendidikan bersama mereka, anda boleh memastikan media-media ini berfungsi sebagai alat untuk mereka belajar dengan sebaiknya.

Membaca untuk/dengan anak anda

Pastikan yang anda meluangkan masa setiap hari membaca untuk/dengan anak anda.  Mulakan dengan cerita-cerita dongeng ataupun pengembaraan dan kemudian beransur-ansur ke buku-buku sejarah, seni dan sains. Ini akan memberikan impak yang besar terhadap perkembangan membaca anak anda. Anda juga harus menggalakkan anak anda untuk membincangkan apa yang telah dia baca, bertanya tentang watak-watak di dalam cerita atau apa sahaja yang mereka rasakan menarik. Apa yang paling penting ialah untuk mengekalkan minat kanak-kanak tersebut ketika membaca dan pastikan aktiviti itu terasa ringan dan menyeronokkan.

Konklusinya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam usaha membenih serta membajai anak-anak dengan didikan yang bersesuaian dan efektif.