Ciri-Ciri Orang Yang Mempunyai Personaliti Yang Menarik

Ramai antara kita cuma berimpian kecil daripada apa sebenarnya yang kita mampu buat. Kita hanya buat perkara yang kita rasa senang dan mampu walaupun kita rasa bosan. Kita bertahan kerana kita tidak mahu keluar dari zon keselesaan. Memang manusia dilahirkan dengan kelebihan yang berbeza yang mana itu yang menjadikan kita unik.

Tetapi tidak semua orang dapat mengagumkan orang lain dengan personaliti mereka. Mungkin masyarakat senang kagum dengan melihat rupa, pangkat, harta dan populariti. Orang yang menarik sebenarnya bukan yang tampak pada luaran tetapi yang datang dari dalaman. Berikut adalah cirri-ciri orang yang menarik.

# Benar Yang Sebenar

Orang yang menarik adalah orang yang benar. Maksudnya, mereka tidak cuba untuk menjadi orang lain. Mereka tidak mempamerkan personaliti atau sikap yang bukan datang daripada mereka sendiri. Mereka tidak punya masa untuk menjadi orang lain dan buat orang kagum pada mereka.

Mereka kenal diri mereka dengan baik dan tidak malu untuk menunjukkan kelebihan dan kelemahan mereka. Mereka tidak berkeinginan untuk membodek dan mendapatkan pujian orang akan tetapi mereka mahu membuat sesuatu yang mengagumkan untuk kepuasan diri mereka sendiri.

#Hormat Orang

Orang yang menarik tahu untuk menghormati orang lain. Tidak dinafikan yang nilai hormat mereka tinggi dan mereka juga menjangkakan akan dihormati pada kadar yang sama. Mereka adalah  golongan yang sangat menghormati diri sendiri dan orang lain. Personaliti mereka membuatkan mereka disukai kerana sikap mereka yang terbuka dan sanggup menghulurkan bantuan pada bila-bila masa.

Selalunya mereka ini disenangi, disukai dan disayangi oleh orang lain. Mereka memilih sayang daripada benci, berjaya daripada gagal dan mereka sentiasa maju kedepan dalam apa jua aspek kehidupan termasuklah akademik dan kerjaya.

#Sentiasa Mengasihi

Mereka yang menarik tidak melihat sesiapapun sebagai musuh walaupun apabila berdepan dengan pesaing mereka. Persaingan bagi mereka bersifat inspirasi dan peluang untuk menjalin hubungan mesra dengan orang lain. Konflik adalah perkara biasa yang berlaku dalam hidup setiap orang akan tetapi konflik bagi orang yang berpersonaliti menarik selalu berakhir dengan cantik.

Mereka dapat menangani konflik dengan bijak walaupun berada di bawah tekanan yang tinggi. Mereka mementingkan nilai kemanusiaan dan perhubungan melebihi ego mereka. Apa jua pun masalah yang mereka hadapi, mereka cuba sedaya upaya menyelamatkan keadaan dan menjaga perasaan orang lain.

#Cipta Kelainan

Orang yang berpersonaliti menarik tahu apa yang mereka mahukan. Mereka jelas dengan diri mereka sendiri. Mereka tidak akan buat sesuatu yang membosankan atau kekal melakukan pekerjaan yang mereka tidak suka.

Mereka berkeinginan untuk mencipta kelainan, menawarkan sesuatu yang menarik kepada orang lain, berkongsi ilmu dan pengalaman dan memberikan impak yang bagus untuk kehidupan orang lain. Merubah hidup orang lain adalah satu kepuasan kepada mereka.Mereka tidak suka memilih jalan yang mudah dan biasakan diri hidup dengan biasa-biasa

#Sangat Menghargai

Disebabkan mereka tidak suka berpura-pura dan enggan membuat sesuatu yang bukan menjadi diri mereka sendiri, tidak ramai akan menyenanginya. Kerana lumrahnya, manusia suka orang yang sentiasa menyokong mereka walaupun bersifat olok-olok.

Orang yang berpersonaliti menarik berani untuk memperkatakan perkara yang benar kerana mereka menghargai orang yang mereka kenal dan sayang dan mahu yang terbaik untuk mereka.

Mereka tahu pentingnya sokongan daripada orang tersayang baik kawan atau keluarga. Komitmen mereka terhadap orang yang mereka sayang adalah paling utama. Kejayaan mereka sebenarnya adalah hasil inspirasi untuk berbakti kepada orang-orang yang mereka sayang.

#Pejuang Kehidupan

Orang yang berpersonaliti menarik memilih jalan kehidupan mereka sendiri tanpa ada rasa ragu. Mereka tidak peduli akan jalan mudah atau cara senang untuk berjaya dalam kehidupan. Bukanlah mereka tidak perlu akan nasihat orang lain tetapi walaupun menghargai pandangan orang lain, mereka lebih suka mengikut naluri dan kata hati mereka sendiri.

Mereka yakin pada diri sendiri dan yakin pada kejayaan yang menanti. Mereka suka mencabar diri sendiri dan teruja untuk mengambil risiko yang memungkinkan kejayaan.Mereka ada pelan kehidupan mereka sendiri dan jelas dengan matlamat hidup.

Walaupun gagal dalam perancangan, mereka tidak mudah mengalah dan terus tabah mengulang langkah. Langkah yang terus kedepan dalam kehidupan. Mereka pejuang hidup yang tidak tahu erti kalah.

Source: Majalah Niaga