5 Senaman Wajib Cuba untuk Atasi Kemurungan

Kadang-kadang penampilan luaran seseorang tidak menunjukkan keadaan sebenar kesihatan mental mereka. Kesihatan mental meliputi kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial kerana ia mempengaruhi cara kita berfikir, rasa dan bertindak.

Jangan Sesekali Pandang Remeh Kesihatan Mental!

” 6 Februari yang lalu, dilaporkan S Logamitraa,16, ditemui tergantung di kipas siling dalam bilik dengan kain selimut terikat pada lehernya oleh ibu mangsa, kira-kira jam 6.15 petang. Mangsa kemudian dibawa ke hospital, namun disahkan meninggal dunia, tiga jam kemudian.”

“Isnin 27 Julai 2020, seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah  dipercayai menembak diri sendiri kerana kemurungan di rumahnya di Taman Seri Maklom, Seri Pinang, di sini pada Isnin. “

Kedua-dua kes bunuh diri yang dilaporkan pihak polis didapati bahawa kejadian tersebut ada kaitannya dengan masalah tekanan dan kemurungan. Tambahan pula, maklumat daripada keluarga terdekat mangsa mendapati bahawa mangsa tidak menunjukkan tanda-tanda kemurungan yang jelas atau petanda ingin membunuh diri. Kedua- dua kes diklasifikasikan mati mengejut.

Dunia masih dalam tempoh berjaga-jaga dengan penularan COVID -19, dalam tempoh ini juga dilaporkan ramai yang mengalami masalah gangguan mental oleh kerana terlalu lama berada di rumah, kerisauan yang melampau dan wujudnya rasa bosan dan kosong dalam diri sendiri sehingga menyebabkan kemurungan. Pelbagai faktor boleh menyebabkan individu tersebut akan menghadapi masalah gangguan mental. Oleh hal yang demikian, ambilah langkah-langkah pencegahan dengan segera sebagaimana mencengah lebih baik daripada merawat.

Sebagai perkongsian bersama, terdapat 5 tips bagi membantu diri anda mengatasi masalah kemurungan, anda wajib melakukan 5 senaman yang dikongsikan dibawah.

Ini 5 Senaman Wajib Cuba untuk Atasi Kemurungan

Bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan mental, terdapat lima senaman dan latihan yang boleh diamalkan bagi membantu mereka mengatasi masalah kemurungan dan kerunsingan.

1. Meyakinkan diri

Cuba meyakinkan diri sendiri dengan berfikiran positif setiap hari dan melihat diri anda sebagai kanak-kanak.

Ini kerana secara lumrahnya manusia sukar bersikap negatif terhadap kanak-kanak.

Anda akan menjadi begitu melindungi versi kanak-kanak diri anda sendiri dan situasi ini akan membuatkan anda lebih menyayangi diri sendiri.

2. Rekod kebaikan

Ambil sebuah buku dan catat mengenai satu perkara baik yang berlaku pada hari tersebut.

Ia boleh menjadi sesuatu yang mudah seperti menikmati secawan teh ketika cuaca baik atau menonton wayang yang dinanti-nantikan.

Aktiviti ini akan membuatkan anda lebih bersyukur dengan perkara yang berlaku dalam kehidupan.

3. Dengar lagu

Fikirkan tentang lagu yang membuatkan anda gembira dan tenang.

Bawa fon telinga sentiasa bersama anda dan pasang lagu tersebut setiap kali anda berasa tidak tenteram dan berdepan dengan masalah.

4. Bernafas dengan betul

Bernafas sedalam-dalamnya dapat meningkatkan bekalan oksigen ke otak dan menggalakkan sistem saraf parasimpatetik untuk membuatkan anda rasa lebih tenang.

Pastikan juga anda duduk dengan selesa dan bernafas selama lima saat dan hembus melalui mulut selama lima saat.

Ulang teknik tersebut selama mana yang anda perlukan.

5. Latihan 54321

 

Salah satu kaedah untuk mengembalikan anda ke keadaan semasa sewaktu mengalami serangan panik adalah dengan melakukan latihan tumpuan deria.

Tumpukan perhatian kepada lima objek yang boleh anda lihat, kemudian empat bunyi yang boleh didengari, tiga perkara yang anda boleh rasa (perasaan), dua bauan yang boleh dihidu dan satu benda yang boleh dirasa (lidah).

Teknik ini digunakan untuk mengasingkan deria anda dan menghentikan anda daripada berasa ‘tenggelam’.

Konklusinya, dengan keadaan persekitaran kita yang masih berjaga-jaga dengan penularan jangkitan wabak COVID-19, dalam masa yang sama jangan lupa memberi keutamaan kepada kesihatan mental anda. Hal ini kerana, kesihatan mental yang baik membantu anda menangani tekanan dengan lebih bijak dimana tekanan jika tidak dibendung akan menjurus anda kearah kemurungan.