Sree Abiraame Memenangi Johan Di Dalam Pertandingan Luncur Figur di Estonia

Atlet luncur figur ais muda negara, C. Sree Abiraame, berjaya merangkul piala johan pada Trofi Tallin 2021 di Estonia pada 21 November 2021 lepas.

Atlet berusia sembilan tahun itu mengumpul 23.49 mata sekali gus muncul sebagai juara ke atas tujuh pemain luncur figur lain dalam kategori luncur terbuka kategori perempuan Cubs B. Pemain luncur ais Estonia, Emilia Dratshenko menduduki tempat kedua dengan 23.33 mata manakala rakan senegaranya, Tatiana Izymnikova menduduki tempat ketiga dengan 21.77 mata.

Bulan lepas, Sree Abiraame mendapat naib juara dalam kategori yang sama pada Piala Narva 2021, juga di Estonia. Sebelum ini, Sree Abiraame telah mengharumkan nama negara dengan memenangi empat pingat emas, satu perak dan satu gangsa pada Kejohanan Siri Kejuaraan Ketiga Asia ISI “Skate Asia 2019” di Bangkok, Thailand dan dinobatkan peluncur ais paling muda untuk memenangi pingat emas ketika waktu itu. Sree Abiraame juga memenangi empat pingat emas dalam Kejohanan Skate Asia ISI Shenzhen  di China pada tahun 2018.

Sejak dari umurnya 5 tahun, Sree Abiramee telah memenangi lebih daripada 50 pingat emas dalam pelbagai peringkat,  beliau telah mengukir namanya dalam Buku Rekod Asia sebagai Pemenang Pingat Termuda dalam Luncur Figur Antarabangsa pada 2019 dan Buku Rekod Malaysia sebagai Luncur Figur Termuda yang memenangi pertandingan Luncur Figur “Skate Asia” kategori Perempuan pada tahun 2017.

Amalan Sree Abiraame yang konsisten dengan berlatih enam hari seminggu dengan tidak kurang daripada dua hingga tiga jam sehari di atas ais merupakan resipi kejayaan untuk menang. Beliau tidak akan berhenti dan sasar untuk menangi pingat Johan di Sukan Olimpik Musim Sejuk 2026 di Milan, Itali.

Tahniah diucapkan kepada adik Sree Abiraame atas kemenangan yang luar biasa ini pada umur yang masih muda. Semoga ketekunan Sree Abiraame dijadikan pedoman kepada kita semua untuk sentiasa berjaya!

Sumber: Astro Ulugam, Bernama