Kenali Punca dan Persediaan Ketika Banjir

Hujan lebat yang melanda tanah air kita ekoran Taufan Rai di Filipina telah membanjiri kebanyakan kawasan di Malaysia, lalu menyebabkan kerosakan kepada harta benda rakyat serta infrastruktur di negara ini. Sejak Disember 2021, lebih dari 40,000 rakyat Malaysia menjadi mangsa banjir dan tanah runtuh. Antara punca terbesar kepada masalah banjir ini ialah kekurangan kawasan tadahan air dan pembalakkan hutan semula jadi secara melampau.

Pembalakan Terlebih Punca Banjir

Pembalakan biasanya akan mengakibatkan hakisan, menyebabkan lumpur mengalir turun dari tanah tinggi semasa hujan, menghakis bukit dan memusnahkan tadahan air dan menyebabkan tanah pamah ditenggelami air.

Penebangan hutan yang berleluasa memburukkan lagi banjir dengan mempercepatkan air larian semasa ribut dan hujan lebat. Tanpa cengkaman akar yang lebih mendalam dan kuat,  keluasan hutan simpanan yang makin mengecil tidak dapat memerangkap air sepenuhnya. Walaupun kita mempunyai penanaman kayu balak dan ladang kelapa sawit yang luas, kapasiti penyerapan air daripada penutupan tanah dan pembangunan akar kayu balak dan ladang kelapa sawit agak kurang berbanding hutan semula jadi.

Keadaan sungai juga telah berubah akibat hakisan, timbunan pasir, kerikil dan kelodak di dasar sungai, sekali gus menjadikan dasar sungai lebih tinggi dan cetek. Ini menyebabkan air hujan mengalir dengan lebih laju ke dalam sungai mengakibatkan sungai tidak dapat menampung jumlah air yang banyak dalam masa yang singkat, lalu menyebabkan banjir. Kawasan tadahan air serta sistem pengairan harus dipertingkatkan agar muka bumi kita tidak lagi ditenggelami air.

 

Cara Menangani Banjir

Antara salah satu cara yang paling efektif dan berkesan menghindari banjir di kawasan urban menerusi Stormwater Management and Road Tunnel (Terowong SMART) yang berfungsi sebagai saliran ribut dan jalan di Kuala Lumpur dan merupakan projek nasional utama di negara ini.

Terowong SMART berjaya mengalihkan lima juta meter padu air walaupun hanya mempunyai tiga juta meter padu kapasiti maksimumnya untuk mengelakkan banjir besar di pusat bandar KL pada 22 Disember 2021. Lima juta meter padu air itu dialihkan dari Sungai Klang dan Sungai Ampang ke Takungan Taman Desa. Terowong sepanjang 9.7 km termasuk lebuh raya 3km, menutup lalu lintas untuk memudahkan pengalihan air ribut. Terowong SMART adalah terowong saliran air ribut terpanjang di Asia Tenggara dan kedua terpanjang di Asia.

Sistem saliran air adalah salah satu kaedah terbaik untuk mengelakkan pengumpulan air di kawasan luar bandar. Cerun di kawasan berbukit diubah supaya saluran air dibina untuk mengalihkan air ke dalam sungai. Kawasan permukaan dibajak dan dihaluskan untuk mengelakkan air bertakung atau mengganggu saliran air, secara tidak langsung mengurangkan dasar sungai menjadi lebih cetek.

Persediaan Sebelum Banjir

  • Semak amaran banjir. Anda boleh mendapatkan kemas kini daripada berita di Internet dan TV tempatan. Kerajaan juga menyediakan maklumat banjir terkini menggunakan aplikasi di telefon pintar.
  • Sediakan kit kecemasan dan bag kecemasan bencana.
  • Ambil gambar di dalam rumah anda. Ini boleh membantu dengan tuntutan insurans.
    Kumpulkan bekalan, termasuk makanan yang tidak mudah rosak, bekalan pembersihan, dan air selama beberapa hari
  • Simpan dokumen penting dalam bekas kalis air.
  • Buat salinan digital yang dilindungi kata laluan.
  • Mencari tempat yang selamat dari kawasan banjir

Perkara Yang Harus Dilakukan Ketika Banjir

  • Jangan berjalan, berenang atau memandu melalui air banjir. Air setinggi enam inci  yang mengalir deras boleh membahayakan anda.
  • Jangan bersembunyi di dalam kereta. Air setinggi dua kaki air boleh mengapungkan kereta.
  • Elakkan terkena air banjir. Ia mungkin tercemar dengan kumbahan. Jika anda terdedah, basuh tangan dan pakaian anda dengan bersih dengan yang air bersih.
  • Ketahui pertolongan cemas agar anda boleh membantu menangani kecemasan seperti strok, tercekik dan melecur.

Masalah banjir dan tanah runtuh boleh dielakkan dengan perancangan pembangunan yang baik. Jika anda ingin mengetahui lebih tentang juruteraan awam yang berkaitan dengan reka bentuk, pembinaan, dan penyelenggaraan persekitaran yang dibina secara fizikal dan semulajadi demi sebuah penempatan yang selamat, terokai dengan lebih lanjut mengenai bidang kejuruteraan awam dengan mendaftar bersama MyCompass disamping mengenal pasti potensi terbaik dan maksima anda.

Sumber: Mongabay, Wikipedia, Unicef