Tukar Kelemahan Diri Jadikan Kelebihan

Kesempatan dan peluang serta masa yang ada, jangan kita sia-siakan untuk memperbaiki siapa diri kita. Keluarlah dari zon selesa anda.

Hendak seribu daya tidak mahu seribu dalih. Majoriti masyarakat kita malas untuk berusaha memperbaiki kelemahan diri sendiri. Meskipun sedar akan kelemahan tersebut perlu segera diperbaiki demi kemajuan dirinya semata-mata dan seluruh kehidupannya. Oleh itu, terdapat enam langkah asas utama yang boleh anda lakukan dalam usaha memperbaiki atau menukar kelemahan anda menjadi kelebihan.

Enam Langkah Tukar Kelemahan Jadi Kelebihan

1. Terima Diri Sendiri

Penerimaan terhadap kekurangan diri merupakan satu kelebihan kerana ia memerlukan kekuatan dan keberanian. Ia adalah langkah pertama untuk anda menjadi seorang yang matang.

2. Senaraikan Kelemahan

Perincikan setiap kelemahan anda dalam satu senarai. Ia boleh dibahagikan mengikut kategori yang bersesuaian seperti tingkah laku, kemahiran, sikap, pengetahuan, kawalan emosi dan lain-lain. Ini bagi memudahkan anda meletakkan matlamat dan seterusnya mengambil langkah yang diperlukan untuk memperbaiki kelemahan anda. Kaedah 5W1H boleh digunakan untuk membantu anda.

3. Tetapkan Matlamat

Kemudian tentukan apa yang anda ingin lakukan terhadap kelemahan yang anda senaraikan. Anda boleh guna kaedah SMART (specific,measurable attainable, realistic and timely) untuk tentukan matlamat yang berkesan, spesifik dan juga membantu anda membuat pelan tindakan untuk jangka masa panjang dan juga pendek.

4. Cari Mentor

Cari mentor untuk membantu dan membimbing anda. Mentor boleh dipilih daripada ahli profesional dalam bidang anda mahupun bidang lain. Anda boleh bertukar pandangan dan mendapatkan nasihat daripada individu tersebut.

5. Latih Diri

Melatih diri untuk tingkah laku mahupun cara berfikir yang baru bukanlah mudah, namun ianya tidak mustahil. Jangan sesekali berputus asa. Walaupun sokongan daripada orang sekeliling penting, namun motivasi intrinsik untuk mendapat kepuasan diri adalah lebih penting bagi memandu anda meneruskan langkah bagi memperkasakan diri.

6. Beri Ganjaran

Raikan dan beri ganjaran yang bersesuaian kepada diri anda apabila sudah berjaya. Ianya sebagai tanda anda menghargai usaha yang anda telah lakukan. Ganjaran berupa pujian kepada diri sendiri adalah paling mudah dan tidak memerlukan kos.

Kegigihan dan kepercayaan kepada diri sendiri merupakan salah satu kunci utama kejayaan bagi sesiapa jua yang berpegang teguh kepadanya.