Sambut Kedatangan Ramadhan dengan Memaafkan

Pelbagai persiapan dilakukan untuk menyambut bulan suci ini. Namun mungkin sedikit kelainan Ramadhan buat kali ini. Pertama kali umat Islam bakal menyambut Ramadhan  dalam keadaan dunia masih berada dalam langkah berjaga-jaga bagi membasmi wabak pandemik COVID-19 ini daripada terus merebak. Walaubagaimanapun, wabak ini tidak menjadi penghalang utama kepada semua umat Islam untuk meraikan kedatangan bulan yang penuh rahmat ini dengan pelbagai amalan mulia selama sebulan berpuasa.

Dalam tempoh PKP ini kita tidak digalakkan untuk ziarah-menziarahi dan kunjung mengunjungi jiran tertangga atau saudara mara yang terdekat. Oleh itu, jadikan teknologi kini sebagai alat untuk anda berhubung dengan kenalan anda. Aplikasi Whatsapp, Instagram, Twitter, Facebook dan pelbagai lagi aplikasi yang sedia ada boleh dijadikan sebagai laman untuk anda menghubungi saudara mara dan kenalan anda yang jauh mahupun dekat. Oleh itu, hubungi atau hantarlah pesanan ringkas kepada kenalan atau saudara mara anda sebagai tanda memohon dan memaafkan mereka jika ada salah dan silap yang tidak disengajakan ataupun salah faham yang masih terpendam.

Saling Bermaafan Amalan Mulia.

Bersyukur kita masih diberi peluang untuk bertemu dengan Ramadhan  tahun ini. Oleh itu, sebagai langkah utama untuk melangkah ke bulan ini dalam keadaan suci  iaitu dengan memaafkan. Saat memasuki bulan Ramadan, kita harus suci lahir dan batin. Suci secara lahir ertinya seperti menjaga kesihatan, kebersihan, dan lain-lain. Sedangkan suci batin adalah suci dari segala fikiran buruk, dendam, dan masalah hati lainnya.

Maka dari itu, menjelang bulan Ramadan, hendaknya umat Islam untuk saling memaafkan. Cara ini boleh membebaskan dirimu dari kesalahan pada orang lain dan membersihkan hati. Dengan begitu, bulan Ramadan akan terasa tenang untuk dijalani.

Selain saling memaafkan antara umat, amalan yang bisa dilakukan sebelum bulan Ramadan adalah memohon ampunan pada Allah SWT. Seorang muslim diperintahkan untuk menyambut bulan Ramadan dengan taubat nashuha, mempersiapkan diri untuk berpuasa, serta menghidupkan bulan Ramadan dengan tekad yang murni dan tulus.

Dengan bertaubat pada Allah SWT kita mampu menjalankan dan memaksimakan pahala di bulan Ramadan dan menyambut bulan Ramadan dengan hati yang bersih, suci dan bergembira.

Meminta Maaf Sifat yang Berani.

Adalah penting untuk kita menjaga hati orang lain. Itu adalah tanggungjawab. Namun kita tidak akan dapat lari daripada kesilapan. Kita perlu akui hakikat itu.

Jangan menunda untuk momohon maaf kerana hal-hal esok tidak dapat dijangka. Cara terbaik adalah bercakap secara berdepan serta akuilah kesalahan kita. Tidak rugi pun jika kita berdepan dengan kebenaran.

Hidup adalah seketika sahaja. Jadi, tiada gunanya untuk kita bergaduh lama-lama. Ikhlaskan meminta maaf dan beri masa pada orang untuk memaafkan kita. Perasaan adalah sesuatu yang tidak boleh dipaksakan, jadi doalah yang baik-baik untuk masa depan yang lebih baik. 

Memaafkan Sifat Orang yang Kuat.

Memaafkan adalah sifat orang yang kuat. Sesekali ubahlah sudut pandang kita (jika berada di tempat orang lain) kerana hakikatnya kita juga mahu dimaafkan.

Bersikaplah dengan sikap positif untuk lebih tenang dan cekal dalam menghadapi hidup. Ikhlaskan. Lakukan kerana kita tahu memaafkan adalah sifat yang mulia dan Allah suka. Jangan hidup pada masa lalu, ada perkara yang perlu kita lepaskan untuk menemui hari baru yang lebih baik.

Kelebihan Memaafkan

  1. Allah akan meninggikan darjat orang yang memaafkan
  2. Diampunkan dosa
  3. Menghubungkan silaturrahim
  4. Mengelakkan persengketaan
  5. Tanda orang bertakwa
  6. Membuatkan hati lebih tenang
  7. Menjadikan diri lebih sabar dan redha

Hilangkan rasa dendam, maka jiwa akan tenang, kuatkan semangat untuk memohon maaf, kuatkan hati untuk memberi maaf, semoga semuanya menjadi lebih mudah. Untuk diri kita dan juga mereka. Semoga amalan kita pada bulan Ramadhan akan bertambah berkat, segala ibadah akan diterima dan doa kita akan dimakbulkan.