Penjagaan Diri Yang Selamat di Tempat Awam Ketika Wabak Pandemik

Pasaraya, pasar basah, pejabat pos, bank, mesin ATM dan  sebahagian besar tempat awam masih menjadi tumpuan orang ramai ketika wabak pandemik ini dan Perintan Kawalan Pergerakan (PKP) sudah di fasa yang kedua. Tiap-tiap hari tempat awam seperti pasaraya menjadi tumpuan orang ramai dikunjungi bagi mendapatkan keperluan-keperluan asas harian.

Walaubagaimanapun, dalam tempoh PKP ini hanya ketua keluarga atau seorang sahaja yang dibenarkan untuk keluar mencari serta melaksanakan segala urusan. Ahli keluarga yang lain tidak dibenarkan keluar tanpa alasan dan urusan yang tidak mustahak.

Namun begitu, ketika di tempat awam jangan lupa untuk mengamalkan langkah-langkah yang selamat supaya diri anda tidak terjejas kepada jangkitan virus berbahaya ini.

Langkah-langkah Penjagaan Diri di Tempat Awam

1. Menggunakan Topeng Muka

Walaupun tidak memakai topeng muka bukanlah menjadi satu kesalahan yang akan diambil tindakan, sebagai manusia yang prihatin jadikanlah amalan baik ini sebagai salah satu cara kita membantu negara agar kembali baik seperti sedia kala. Tambahan pula, bagi mereka yang keluar ke tempat awam atas urusan tertentu. Langkah ini sebagai pencegahan awal terhadap diri anda daripada terdedah dengan persekitaran tidak sihat dikalangan orang ramai.

Selain itu, sekiranya anda tidak sihat seperti batuk atau selsema, pakailah topeng muka dan segeralah mendapatkan rawatan di klinik atau hospital. Jangan menggunakan topeng muka yang sama berulang-ulang kali, sebaiknya keraplah menukar topeng muka dari masa ke semasa.

2. Mencuci Tangan Menggunakan Cecair Pembasmi Kuman.

Apabila anda ke pasaraya, bank atau mana sahaja tempat awam, sangat digalakkan untuk anda kerap kali menggunakan cecair pembasmi kuman ‘Hand Sanitizer’. Langkah ini bagi memastikan tangan anda sentiasa bersih setelah anda memegang pelbagai barang dan permukaan yang berkemungkinan besar telah disentuh oleh individu yang telah dijangkiti COVID-19.

Selain itu, apabila anda di tempat awam elakkan menyentuh bahagian permukaan muka anda dengan tangan anda sebelum anda mencuci tangan anda terlebih dahulu.

3. Mengamalkan Penjarakan Sosial 1 Meter

Seperti yang sedia maklum, setiap premis perniagaan atau pejabat-pejabat yang beroperasi di musim PKP ini haruslah mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Antaranya ialah mengamalkan penjarakan sosial 1 meter antara satu sama lain. Premis perniagaan hendaklah menghadkan bilangan pembeli dalam premis perniagaannya bagi mengelakkan berlaku sebarang kesesakan sehingga bersentuhan dan menyediakan  cecair pembasmi kuman di pintu masuk premis.

Selain itu, kita juga digalakkan untuk menjaga kesihatan dengan baik seperti makan makanan yang berkhasiat dan melakukan senaman ringkas di dalam rumah.

4. Elakkan Diri Daripada Bersalaman dan Bersentuhan

Apabila anda berada di luar elakkan bersalaman dan bersentuhan dengan mana-mana individu atau kenalan anda.

Selain itu, amalan ziarah menziarah saudara mara serta jiran tetangga dalam tempoh ini harus dihentikan buat seketika malahan elakkan daripada menerima sebarang tetamu ke rumah anda. Hal ini bagi mencengah sebarang kemungkinan yang tidak diingini berlaku.

5. Mandi setibanya di Rumah

Setibanya anda dirumah setelah selesai urusan di tempat awam sebentar tadi, anda hendaklah mandi dan menukar semua pakaian anda terlebih dahulu sebelum berjumpa dengan ahli keluarga anda yang lain. Jangan ambil remeh tindakan ini. Utamakan keselamatan dan kesihatan ahli keluarga anda. Jangan disebabkan anda ahli keluarga anda yang menimpa padah. Malang dan maut tidak berbau.

Oleh hal demikian, sebaiknya elakkan diri anda untuk kerap kali ke tempat awam seperti pasaraya dan bank. Rancang segala keperluan dan aktiviti anda bersama-sama ahli keluarga di rumah anda. Sebagai ketua keluarga, anda tidak semestinya perlu keluar setiap hari untuk mencari keperluan dapur dan lain-lain. Beli keperluan harian anda untuk tempoh empat kelima hari dan pastikan segala keperluan mencukupi.

Kerajaan sudah memainkan peranan mereka untuk membasmi virus COVID-19 dengan seriusnya, maka marilah kita menyokong usaha kerajaan untuk memulihkan keadaan supaya boleh kembali kepada sedia kala dengan hanya kekal berada di rumah.

Percayalah, kepatuhan orang ramai melaksanakan penjagaan diri dalam membasmi wabak COVID-19 mampu memutuskan penularan virus ini. Oleh hal demikian, sama-samalah kita berusaha mempraktikkan gaya hidup sihat dan selamat ini dimana jua kita berada.