Macam-Macamlah Boleh Buat di Rumah

Sepatutnya tiada istilah bosan atau boring berada dirumah demi menjaga kemaslahatan semua. Jangan pentingkan diri sendiri, keluar rumah berjalan sana sini tanpa tujuan yang mustahak kerana rasa bosan dan penat berada di rumah. Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berbaki dua minggu iaitu bersamaan dengan 14 hari lagi. Jangan keluar, sentiasa berada di rumah dan elakkan daripada situasi yang boleh mendedahkan anda kepada jangkitan Covid-19.

Anda tinggal di kampung atau rumah anda di kawasan perumahan, apartmen, flat dan sebagainya bukan penghalang untuk anda melakukan pelbagai aktiviti di rumah semasa tempoh PKP ini.

Cipta Minat Anda Sekarang!

Cuba cari dan terokai minat anda untuk dijadikan hobi sebagai aktiviti seharian anda dirumah. Mungkin juga anda mempunyai potensi diri yang anda sendiri tidak sedar akan kebolehan diri anda seperti anda mampu untuk melukis dan sebagainya. Banyak benda yang boleh anda lakukan untuk hilangkan rasa bosan. Yang terbaik adalah ambil peluang ini untuk bersama-sama keluarga dan melakukan aktiviti bersama-sama ahli keluarga anda!

Berkebun

Ayuh kita berbudi kepada tanah. Berkebun merupakan kegiatan yang sangat berfaedah. Luangkan masa anda untuk berkebun di halaman rumah anda pada waktu pagi mahupun di petang hari. Pelbagai jenis tanaman sayur-sayuran ,bunga-bungaan dan buah-buahan yang boeh ditanam.

Tambahan pula, banyak  faedah yang akan anda perolehi daripada berkebun. Antaranya ialah dapat menjimatkan kos perbelanjaan kerana anda tidak perlu beli sayur-sayuran mahupun buah-buahan di kedai. Berkebun juga dapat menyihatkan lagi tubuh badan anda kerana semasa berkebun badan anda akan mengeluarkan peluh. Selain itu, pelbagai tanaman yang ditanam itu akan mencantikkan kawasan sekitar halaman anda dengan kehijauan pokok dan kepelbagaiaan warna bunga-bungaan.

Sambil berkebun juga, anda juga boleh membersihkan kawasan sekitar luar rumah anda dengan menebas rumput-rumput dan menyapu daun-daun kering yang berguguran. Tidak semua orang berpeluang untuk berkebun, namun bagi mereka yang mempunyai halaman dan masa yang terluang boleh mencuba hobi baru ini kerana tidak rugi berbudi kepada tanah.

Menjahit

Menjahit pada masa kini bukanlah calang-calang orang yang mempunyai kebolehan ini. Kemahiran ini mempunyai teknik dan kebolehan  yang khusus untuk melakukannya. Bagi mereka yang suka menjahit teruskan hobi anda menjahit kerana apabila selalu dipraktikkan ianya dapat meningkatkan lagi kemahiran anda yang sedia ada.

Namun, bagi mereka yang tidak pandai menjahit boleh cuba untuk menjadikan kegiatan menjahit sebagai salah satu aktiviti dimasa terluang ini. Anda tidak perlu terburu-buru untuk belajar menjahit. Mulakan dengan jahitan tangan yang asas seperti menjahit butang atau bahagian jahitan baju yang terbetas atau koyak. Hari demi hari anda boleh belajar menjahit daripada ibu anda, saudara mara terdekat atau anda juga boleh belajar melalui “Youtube”. Seterusnya cuba untuk belajar terlebih dahulu menjahit benda-benda yang simple seperti sapu tangan, alas meja dan sebagainya. Ini bagi membantu melancarkan pergerakan tangan, mengetahui perkara-perkara asas berkenaan jahitan agar tidak kekok.

Memasak

Ibu bapa tidak perlu menghalang anak-anak untuk masuk ke dapur. Biarkan anak-anak anda untuk membantu anda di dapur. Bagi anak-anak yang sudah dewasa dan masih tidak pandai memasak, bolehlah meringankan tulang anda membantu dan belajar memasak bersama-sama ibu anda. Pelbagai menu dan hidangan yang boleh anda cuba untuk belajar memasak.

Selain belajar memasak anda akan terdedah dengan pelbagai bahan dan peralatan yang terdapat di dapur. Bila lagi nak berkenalan dengan sudip, senduk, 3 beradik herba dan pelbagai lagi. Jadikan memasak salah satu hobi anda. Ini kerana memasak adalah satu rutin harian dalam kehidupan terutamanya kepada para wanita yang mendirikan rumah tangga kelak.

Mengemas

Tiada alasan rumah bersepah, baju belum basuh, pinggan mangkuk tidak tersusun atau pakaian berselerak. Kekemasan dan kebersihan rumah adalah tanggungjawab semua ahli keluarga. Oleh itu, ibu bapa boleh mengajak anak-anak untuk membantu anda mengemas ruang dan bilik-bilik yang terdapat di rumah. Ibu bapa juga boleh membahagikan tugas mengemas dan membersihkan rumah kepada anak-anak mereka di masa terluang ini. Sebagai contoh anak sulung menjaga kebersihan dan kekemasan di dapur, anak kedua di bahagian ruang tamu, anak ketiga membasuh baju dan seterusnya.

Selain mendidik mereka untuk menjadi seorang yang pembersih secara tidak langsung dapat memupuk rasa bertanggungjawab dan amanah atas tugas diberikan. Tambahan pula, ini dapat mengelakkan mereka berasa bosan dirumah kerana tiada apa-apa yang perlu dilakukan.

Bersenam

Otak yang cergas datangnya daripada tubuh badan yang sihat. Luangkan 20-30 minit setiap hari untuk bersenam di rumah. Pelbagai senaman ringan yang boleh anda lakukan seperti berjalan, naik turun tangga, push up, squat dan berjogging setempat. Senaman ringan jugak sangat sesuai untuk mereka yang sedang diet. Disamping menjaga pemakanan, fizikal juga harus dititiberatkan.

Permainan

Makan ataupun duduk bersama mungkin sudah biasa dianggap sebagai family time. Wujudkan sesuatu luar kebiasaan iaitu bermain  permainan bersam-sama ahli keluarga. Aktiviti permainan ini boleh dilakukan ketika menonton telivisyen atau waktu terluang di siang hari untuk megelakkan rasa bosan dan hanya tidur sepanjang hari.

Memainkan permainan anak dengan seluruh anggota keluarga dapat menjadi family time yang seronok dan menyenangkan. Anda boleh melepaskan penat sejenak dengan bermain bersama keluarga. Sambil bermain, anda juga boleh mengunyah jajan dan makanan ringatn bagi membangkitkan lagi suasana family time.

Jangan terlalu pandang dari sudut negatif akan permainan game. Walaupun terdapat sudut negatif daripada permainan game namun aktiviti ini sangat bermanfaat apabila dilakukan bersam-sama ahli keluarga

Tonton Televeisyen

Luangkan masa bersama-sama keluarga untuk menonton televisyen bersama-sama ahli keluarga disiang dan juga malam hari. Ibu bapa cuba untuk mendapatkan cerita yang bersesuaian untuk ditonton oleh sekeluarga. Cerita yang dapat menarik minat anak-anak untuk berada di hadapan televisyen dalam tempoh masa hampir dua jam.

Selain itu, semasa menonton televisyen ibu bapa hendaklah mengambil peluang ini untuk sedikit sebanyak berborak dengan anak-anak menceritakan keadaan sekitar yang terkini dan boleh bertanyakan mereka tentang kehendak mereka berada dirumah. Mugkin mereka mempunyai kemahuan mereka yang boleh kita penuhi ketika dirumah.

Rehat dan Tidur

Dapatkan rehat dan tidur yang betul serta mencukupi iaitu tidur yang berkualiti. Jumlah jam tidur yang diperlukan oleh seseorang bergantung kepada kumpulan umur. Secara am, ia disyorkan orang dewasa (termasuk orang tua) mendapatkan 7–8 jam tidur setiap malam.

Jumlah tidur yang disyorkan berdasarkan kumpulan umur:

  • Bayi baru lahir: 16–18 jam/hari
  • Kanak-kanak tadika: 11–12 jam/hari
  • Kanak-kanak sekolah: Sekurang-kurangnya 10 jam/hari
  • Remaja: 9–10 jam/hari
  • Dewasa: 7–8 jam/hari

Namun demikian, elakkan tidur yang panjang disiang hari dan terlalu berjaga sehingga lewat di malam hari. Gaya tidur sebegini tidak berkualiti untuk seseorang. Namun begitu. kekurangan tidur untuk jangka masa panjang adalah buruk untuk kesihatan anda!

Kesimpulannya, kesempatan dan ruang masa yang ada ini gunalah dengan sebaiknya. Cipta hobi anda dan terokailah potensi diri anda.