Lebih Bahaya Jika Terlepas Pandang Penderaan Emosi

Kes penderaan fizikal seperti diterajang, ditumbuk, dipukul, ditikam, dikelar, disimbah asid dan pelbagai perbuatan kekerasan suami ke atas isteri atau penderaan ibu bapa terhadap anak sering menjadi paparan media massa, juga banyak kes dibicarakan di mahkamah apabila laporan dibuat. Penderaan emosi ini juga dikenali sebagai penderaan psikologikal, atau sering diungkap bagi menggambarkan pembulian emosi. 

Lazimnya, dalam kempen menentang keganasan yang dijalankan, penderaan fizikal sering ditonjolkan sehinggakan ada yang terlepas pandang satu lagi bentuk keganasan iaitu penderaan emosi. Penderaan kategori ini memang sukar dikesan dengan mata kasar kerana tidak berlaku kecederaan fizikal. Oleh itu ramai tidak sedar penderaan emosi meninggalkan kesan lebih mendalam, berpanjangan dan membahayakan mangsa.

Kenapa Penderaan Emosi Sukar Untuk Dikesan

1. Kecederaannya tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

2. Mangsa suka memendam perasaan dan tidak mendedahkan penderitaan yang ditanggung kepada orang lain.

3. Suatu keadaan yang memalukan jika didedahkan.

Penderaan fizikal mudah kelihatan dengan pelbagai tanda seperti luka dan pendarahan, lebam dan patah anggota serta lain-lain kecederaan fizikal. Namun, keadaan ini tidak berlaku dalam kebanyakan kes yang melibatkan penderaan emosi, menjadikan ia amat sukar untuk dikenalpasti dan diadili. Walhal, kes penderaan emosi lebih banyak berlaku berbanding kejadian penderaan fizikal.

Bentuk Penderaan Emosi

  • Keganasan rumah tangga antara suami isteri antara kesnya ialah suami tidak bekerja, berfoya-foya, kaki judi, suka memaki-hamun, melayan isteri bagai abdi dan menjadikan mereka hamba seks.
  • Penderaan Ibubapa terhadap anak-anak antara kesnya ialah pengasingan atau pemulauan atau penyisihan dan penghinaan lisan atau perbuatan yang menjatuhkan maruah/moral anak-anak.

Kesan Penderaan Emosi

Memang benar bahawa mencegah itu lebih baik daripada merawat, dan kecederaan emosi perlu dirawat, serta ada cara dan kaedah yang terbaik dan terbukti serta mampu untuk merawatnya, namun sebelum ia menjadi terlambat dan kronik, masyarakat perlu dididik dengan kesedaran terhadap keburukan penderaan emosi.

Hakikatnya, kecederaan emosi yang dialami ini sukar kelihatan walaupun ia benar-benar dialami oleh mangsa dan memakan masa yang lama untuk pulih serta memerlukan banyak sokongan dan intervensi, sama seperti kecederaan fizikal lain. Penderaan emosi akan mengakibatkan kecederaan emosi dan mengundang lebih banyak kemerbahayaan yang tidak terjangkau oleh pemikiran manusia iaitu:

  • Trauma
  • Kekeliruan identiti diri
  • Memiliki tahap kerendahan harga diri dan moral yang amat lemah dan kronik

Jika tidak dibantu dan dipulihkan sewajarnya, ia akan mengakibatkan gejala gangguan mental dan emosi lain seperti penyakit kebimbangan dan kemurungan yang akhirnya boleh juga membawa kepada kejadian bunuh diri.

Pencegahan Penderaan Emosi

  • Sebarang kejadian yang melibatkan penderaan emosi ini perlu dirujuk kepada pakar untuk urusan pemantauan oleh pihak berkuasa
  • Berhati-hatilah dalam pertuturan dan ungkapan agar tidak menyakiti.

  • Sebarang keterlanjuran, perlulah diakui dan mohonlah kemaafan kerana permohonan maaf juga satu terapi yang merawat gejala kecederaan emosi.

Marilah sama-sama kita memupuk kesedaran dalam diri dan juga masyarakat agar menitikberatkan terhadap penderaan emosi ini.