Jangan Sekat Kreativiti Anak

Rasulullah SAW bersabda ‘Setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih (fitrah), ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakan dan mencorakkannya, sama ada menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi’.

Sabda Baginda SAW jelas menunjukkan pengertian yang amat mendalam akan kepentingan ibu bapa dalam membesar dan mendidik anak-anak yang dilahirkan ke muka bumi ini. Anak-anak kecil sifatnya suka meneroka sesuatu yang baru sebagaimana mereka dalam tempoh untuk mengenali dunia dan sekeliling mereka. Ibu bapa merupakan guru kepada anak-anak kecil anda menerokai sesuatu yang menjadi perhatian mereka.

‘TIDAK boleh main hujan,’ atau ‘tidak boleh membela kucing.’ Sekiranya anda ibu, lebih banyak berkata ‘tidak’ untuk permintaan anak, secara tidak langsung anda sebenarnya menyekat kreativiti anak yang pada hakikatnya suka meneroka. Tanpa disedari, perkataan ‘mudah’ seumpama itu boleh melunturkan nilai murni dalam diri anak. Anda mungkin tidak sedar, lantaran sibuk dengan urusan keluarga dan kerjaya.

Dua kunci utama dalam membantu anak-anak anda menerokai dunia ialah:

Bantu Terokai Dunia

Anak-anak kecil belum kenal apa itu baik buruk, bahaya dan akibat akan datang dari sesuatu yang belum pernah mereka lakukan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah membantu anak-anak anda terokai sesuatu yang baru.

Biarkan dan beri tunjuk ajar kepada anak-anak dalam mencuba sesuatu yang baru. Bagaimana sesuatu yang baru itu akan memberi pengalaman yang boleh membantu ibu dan anak untuk bersama-sama menerokai dunia dan mengeratkan lagi hubungan antara mereka.

Selain itu, ibu bapa juga amat digalakkan untuk menunaikan permintaan munasabah daripada anak. Contohnya, anak anda ingin memelihara binatang peliharaan seperti kucing atau arnab. Anda mungkin tidak akan benarkan memelihara haiwan peliharaan kerana bimbang dengan kebersihan dan kesihatannya.

Namun begitu, cuba anda tunaikan dan bantu mereka untuk memenuhi minat dan permintaan mereka. Secara tidak langsung, percayalah bahawa permintaan mereka itu akan memberi pengalaman dan sesuatu hasil yang menarik untuk anda pelajari dalam pembesaran fizikal dan minda anak-anak anda kelak.

Beri Galakan

Sekiranya terlalu kerap berkata ‘tidak’ kepada anak kerana halangan faktor kebersihan atau kesihatan, ia sebenarnya boleh menghalang si kecil daripada meneroka persekitaran atau mungkin terlalu bergantung kepada ibu bapa, selain menunjukkan sikap negatif.

  1. Ibu bapa harus menggalakkan anak mereka belajar dan berkembang menerusi penemuan serta pengalaman di sekeliling dunia mereka, terutama di luar rumah.
  2. Ibu bapa tidak perlu bimbang jika anak jatuh sakit sewaktu menikmati pengalaman di luar kerana ia akan mengukuhkan daya tahan mereka.

Biarkan anak-anak anda bermain kerana bermain boleh ditakrifkan sebagai cara kanak-kanak belajar tanpa diajar oleh orang dewasa melalui pengembaraan dan pengalaman yang membabitkan komponen fizikal, kognitif dan sosial secara spontan. Sebaiknya, ibu bapa perlu mengambil manfaat pengalaman menyeronokkan bersama si kecil dan teknik keibubapaan secara positif dengan meluangkan masa berkualiti melakukan aktiviti bersama-sama anak.

Anak-anak anugerah terindah buat setiap pasangan. Jangan lepaskan peluang dan pengalaman anda untuk merebut ilmu-ilmu dan kemahiran serta teknik-teknik penyampaian terbaik dalam usaha memastikan anak-anak kita kelak mendapat pendidikan yang sempurna dan paling bermakna semasa mereka kanak-kanak.