Boleh Ke Buat Berlian Sendiri Di Rumah?

Berlian atau intan sinonim dengan cincin perkahwinan dan lambang kemewahan. Selain dari kecantikannya yang memukau di bawah kilauan cahaya, berlian adalah salah satu mineral paling keras di dunia. Hampir mustahil untuk mencalarkan permukaan berlian dan agak sukar untuk memecahkannya juga. Lalu ia sering menjadi batu perhiasan kerana keteguhan dan kecantikan yang tahan berkurun lama. Malah kebesaran saiz dan kecantikan setiap intan perhiasan bertindak sebagai simbol status kerana harganya.

 

Aspek 4C Berlian

Kecantikan berlian disukat mengikut aspek 4C iaitu Cut, Colour Clarity dan Carat. Daripada 4C berlian, potongan berlian adalah yang paling penting. Ini diikuti dengan warna, kejelasan, dan berat karat. Setiap berlian adalah seperti cap jari manusia, mempunyai ciri-ciri tertentu yang membezakan antara satu sama lain lalu menunjuk keunikan sebutir permata berlian. Penilaian aspek 4C sesebuah berlian adalah piawaian yang diterima secara global untuk menilai kualiti berlian. Berlian yang kasar mencapai potensi penuhnya setelah menjalani proses pemotongan dan penggilapan;, lalu berlian tersebut akan kehilangan sehingga 50% daripada berat karat kasar asalnya secara purata. Tetapi hasil potongan berlian kepada perkadaran dan simetri yang sempurna akan memaparkan bentuk dan kilauan yang mengagumkan.

Cut (potongan)
Gred potongan berlian adalah sesuatu yang hanya boleh ditentukan oleh ahli gemologi terlatih dan semuanya mengenai perkadaran. Berlian yang dipotong dengan tidak kemas tidak menangkap dan membiaskan cahaya dengan berkesan seperti berlian yang dipotong dengan baik. Potongan ideal berlian adalah simetri dan tidak terlalu cetek atau terlalu dalam.

Berlian biasanya dipotong dengan laser dan digilap dengan berlian memandangkan berlian dikenali sebagai bahan paling keras di dunia, hanya berlian boleh memotong berlian! Seperti yang anda lihat dalam rajah di atas, berlian yang dipotong dengan baik akan membias dan memantulkan cahaya untuk memberikannya kilauan yang sempurna.

Colour (Warna)
Gred warna ditentukan oleh kekurangan warna: semakin jelas berlian, semakin tinggi grednya. Berlian dengan sedikit warna kekuningan akan menjadi kurang berharga daripada berlian sejernih kristal. Walaupun begitu, beberapa berlian yang berwarna boleh menjadi sangat berharga. Berlian biru adalah lebih sukar ditemui: terdapat hanya satu dalam 200,000 peluang bahawa berlian akan berwarna biru, dan walaupun begitu, kebanyakan berlian biru sangat pucat. Warna juga lebih dikenali dalam berlian yang lebih besar.

Clarity (Kejelasan)
Gred kejelasan berlian adalah ukuran ketidaksempurnaan pada permukaan dan dalam batu. Gred kejelasan hanya boleh ditentukan oleh ahli gemologi terlatih menggunakan kanta loupe pada pembesaran 10x. Gred akhir bergantung pada saiz, sifat, nombor, lokasi, dan kelegaan kemasukan/cela.

Carat (Karat)
Karat ditentukan oleh berat berlian. Sebagai rujukan, satu karat mempunyai berat 0.2 gram, kira-kira sama dengan klip kertas. Untuk berlian karat lebih tinggi, gred kejelasan menjadi lebih penting, ini kerana lebih besar saiz berlian, ketidaksempurnaan akan lebih mudah untuk dikenal pasti!. Berlian berharga setiap karat, tetapi harga setiap karat sebenarnya meningkat apabila berat berlian meningkat, kerana berlian kasar besar tanpa ketidaksempurnaan atau cela lebih jarang dan sukar ditemui.

 

Bagaimanakah berlian tercipta?

Berlian semula jadi yang terdapat di dalam kerak bumi diperbuat dari arang dan karbon yang berada di tekanan dan suhu sesuai, kemudian dibawa ke permukaan melalui aktiviti gunung berapi. Keseluruhan proses mengambil masa antara 1 bilion dan 3.3 bilion tahun, iaitu kira-kira 25% hingga 75% daripada usia bumi kita sedalam 150 hingga 200km di bawah tanah. Walau bagaimanapun, sebelum berlian dilombong di bawah permukaan bumi ia ditemui oleh pelombong di dasar sungai. Aktiviti perlombongan jenis ini dikenali sebagai perlombongan aluvium. Walaupun berlian mudah dijumpai apabila di lombong, ia tidak semestinya mempunyai kualiti yang tinggi.

Sebilangan besar berlian yang dilombong adalah warna yang keruh tidak mempunyai peluang untuk menghiasi jari anda. Ini dipanggil “gred perindustrian”, di mana ia biasanya dikisar menjadi habuk berlian dan digunakan dalam alatan dan pembuatan. Berlian perhiasan datang dari jumlah batu yang baik dan berkualiti. Lebih besar, lebih jelas, dan kepekatan warna paling pudar tidak senang untuk dijumpai, dianggarkan hanya 30% daripada berlian yang dilombong di seluruh dunia adalah permata yang berkualiti yang sesuai buat perhiasan.

Bolehkah berlian di hasilkan secara sintetik?

Hari ini, terdapat dua kaedah menghasilkan batu permata berlian: Tekanan Tinggi-Suhu Tinggi (High Pressure-High Temperature – HPHT) & Mendapan Wap Kimia (Chemical Vapor Deposition – CVD). Berlian dihasilkan dengan mencipta semula keadaan alam semula jadi dan mempunyai variasi warna dan kejelasan yang sama yang wujud dalam berlian asli. Berlian yang dihasilkan di makmal adalah sama seperti berlian yang di lombong dari bumi.

Berlian yang diperbuat di makmal bukanlah perkara yang sama seperti simulasi berlian seperti zirkonium atau moissanait. Berlian buatan makmal dihasilkan dengan mencipta semula keadaan di bawah Bumi yang mengakibatkan penghasilan berlian iaitu tekanan, haba dan karbon. Berlian buatan manusia adalah 100% karbon dan mempunyai sifat kimia yang sama seperti berlian yang di lombong.

Ia mengambil masa 7-10 hari untuk menghasilkan berlian 1 karat di makmal, dan kira-kira sebulan untuk berlian 3 karat. Jika anda cuba menghasilkan berlian dengan lebih cepat, kristal berlian akan retak atau berlubang, menghasilkan warna yang keruh atau kelabu.

 

Apakah perbezaan antara berlian semulajadi dan buatan manusia?

Satu-satunya perbezaan yang ketara antara kedua-duanya ialah berlian asli sebenarnya berusia lebih daripada 3.3 bilion tahun, menjadikan batu permata itu sangat istimewa dan unik daripada jenisnya. Harga berlian buatan dijual satu per sepuluh harga berlian semula jadi kerana waktu singkat untuk menghasilkannya tetapi masih memberi kilauan yang cantik apabila di pancar cahaya.

Untuk mengenal pasti berlian asli daripada berlian sintetik, anda perlu menggunakan peralatan khusus. Sifat kemasukan dalam berlian asli berbeza daripada jenis ‘kecelaan’ yang terdapat dalam berlian sintetik. Tidak semua cela mudah dilihat melalui mata kasar atau dengan menggunakan kanta ‘loupe’. Cara terbaik untuk mengetahui sama ada berlian itu asli atau sintetik adalah dengan meminta tukang emas profesional untuk melakukan pemeriksaan gred menggunakan alat teknologi yang lebih maju.

Walaupun asal-usul berlian sintetik berbeza apabila ia datang kepada asal-usul berlian asli, strukturnya masih kekal sama. Oleh itu, saintis percaya berlian buatan makmal masih dikira sebagai berlian sebenar, sifat fizikal dan komposisi kimia berlian sintetik adalah sama dengan berlian asli. Tetapi perlu diingati kerana berlian yang di lombong adalah dalam bentuk seni alam semula jadi, menjadikan ia sebuah batu permata yang unik.

Berlian diperbuat dari abu (Imej: https://www.capetowndiamondmuseum)

Jadi bolehkah hasilkan berlian sendiri dari rumah?

Berlian boleh dihasilkan dengan memampatkan karbon grafit kepada suhu dan tekanan yang sangat tinggi, ada juga ‘trik’ di mana mentega kacang tanah digunakan untuk mempercepatkan proses dengan menghasilkan karbon lebih tinggi. Tetapi untuk mengekalkan tekanan dan suhu yang tinggi selama berminggu atau berbulan akan menggunakan tenaga yang banyak. Terdapat juga servis menukarkan abu kepada berlian untuk mengingati orang tersayang anda selamanya, tapi pastinya harga untuk servis tersebut juga amat tinggi.

Secara teorinya, pastinya boleh tetapi mungkin akan menelan belanja yang teramat besar untuk menghasilkan sebutir permata intan berlian tersendiri. Malah ia mungkin akan terhasil dengan warna yang keruh jika proses tekanan dan suhu tersebut tidak cukup untuk menghasilkan berlian yang berkualiti.

 

Selama bertahun-tahun, berlian kekal sebagai salah satu batu permata yang paling menakjubkan sepanjang zaman. Sekarang anda sudah tahu cara terbaik untuk menilai berlian yang terbaik. Jika anda meminati dengan  batu-batu berharga yang terhasil secara semula jadi ataupun anda ingin menggunakan permata tersebut untuk membuat perhiasan,  ketahui lebih lanjut tentang bidang sains geologi dengan mendaftar bersama Mycompass!

 

Sumber: Ada Diamonds, Rare Carat, HiHolden