Bantu Membina Kekuatan Dalaman Anak.

Ada ke cara yang mudah dalam membantu membina kekuatan dalaman anak-anak? Sebahagian ibu bapa mungkin kepenatan dan keletihan sehingga terdapat sebilangan ibu bapa yang mengabaikan kekuatan dalaman anak mereka. Meski anda kepenatan  seharian dengan urusan pekerjaan namun cuba untuk praktikkan 6 cara mudah ini untuk memastikan anak anda mempunyai kekuatan dalam yg kukuh dalam menghadapi cabaran dan rintangan yang mencabar dewasa ini.

Bantu Membina Kekuatan Dalaman Anak.

1. Bantu Pertumbuhan Fizikal & Intelektual Anak

Pastikan anak anda mendapat nutrisi yang lengkap untuk pertumbuhan fizikal yang sihat. Dengan fizikal yang cergas, barulah sel-sel otak dapat berhubung.

Dorongan ibu bapa adalah sangat penting dalam menerapkan nilai dan disiplin di dalam diri anak-anak bagi membentuk asas kekuatan minda. Dorongan tersebut dapat membuatkan mereka merasa seperti telah mencapai sesuatu, seterusnya memberi motivasi untuk mereka melakukan apa yang lebih baik pada masa akan datang.

2. Ajar Anak Kawal Emosi

Perasaan marah, sedih, gembira, teruja dan keliru adalah satu perkara biasa. Tapi, semua ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dikawal terutamanya bagi anak yang sedang membesar.

Ibu bapa perlu yakinkan anak bahawa anda sentiasa ada di sisi mereka. Ini akan membuatkan anak lebih terbuka untuk berkongsi sebarang masalah dengan anda dan mereka lebih mudah menerima nasihat atau kritikan.

3. Sentiasa Beri Inspirasi & Galakan Kepada Anak

Selalu berikan anak inspirasi supaya mereka rasa lebih semangat untuk mencari kekuatan dalaman. Jika anak suarakan minat mereka, berikan mereka galakan yang sewajarnya. Dengan inspirasi dan galakan yang anda dah bagi mesti akan buat mereka rasa disayangi.

Lama-kelamaan, anda akan dapat melihat mereka sendiri yang akan mengorak langkah lebih bersemangat dalam segala hal.

4. Biar Anak Berdikari

Berdikari dapat melatih anak mempunyai perasaan bertanggungjawab dan tidak bergantung kepada ibu bapa. Tapi, anda perlu peka dengan usia anak dan lihat kemampuan mereka.

Dengan cara ini, ia akan membuatkan anak yakin dan rasa dirinya dihargai. Anak yang dilatih berdikari akan menjadi orang yang kuat jiwanya dan dapat menyesuaikan diri dengan sebarang keadaan suasana dan tempat.

5. Beri Anak Peluang Beri Pendapat

Sebagai ibu bapa, anda perlu menerima apabila anak memberikan pendapat. Apabila anak anda memberi pendapat, tidak semestinya mereka melawan. Anda perlu faham apa yang dikatakan melawan dan memberi pendapat sebab ia adalah dua benda yang berbeza.

Melalui peluang ini, ia dapat didik anak untuk memberikan pendapat secara berhemah dan bersopan. Selepas ini, taklah anak marah-marah bila tidak diberi peluang untuk bercakap.

6. Rangsang Anak Anda Dengan Penjelasan

Penjelasan akan mengajar anak untuk berfikir sebab dan kesannya. Ibu bapa perlu beri peluang kepada anak untuk faham sesuatu situasi. Didik anak dengan komunikasi yang jelas supaya anak dapat berfikir, bukannya hanya mengikut kehendak anak semata-mata.

Cara ini dapat bantu anak anda untuk belajar membuat pertimbangan dan berdikari. Malah, anak anda juga boleh berfikir dan tahu apa kesan jika melakukan sesuatu tindakan.

Sumber:www.siraplimau.com