Aktiviti Menarik Dengan Norma Baru Sempena Sambutan Hari Kebangsaan

Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini tidak dapat disambut seperti tahun-tahun sebelum ini, oleh kerana kita masih dalam usaha memutuskan penyebaran wabak merbahaya COVID-19 yang kini ribuan rakyat telah mati kerana virus ini.

Malaysia terkenal dimata dunia dengan kepelbagaian kaum, etnik dan agama yang hidup dalam perpaduan dan aman damai. Keistimewaan dan warna-warni ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang sangat dikagumi serta dicontohi oleh negara-negara lain.

Namun begitu, pada tahun ini sedikit sebanyak timbul rasa sedih terhadap perlaksanaan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-63 kerana tidak dapat dilaksanakan dengan meriahnya. Walaubagaimanapun, pelbagai aktiviti yang dapat dilakukan secara kecil-kecilan bagi menyambut Hari Kebangsaan sebagai tanda penghayatan kita semua.

Jom kita tinjau apa idea aktiviti menarik yang boleh dijalankan untuk sambutan tersebut.

1.Meletakkan Gambar Profil Bertemakan Kemerdekaan

Setiap individu boleh melakukan perkara ini sebagai cara dan semangat penghayatan hari kermerdekaan negara kita yang julung kalinya disambut dengan norma baru.

Meletakkan gambar anda berlatar belakang bendera Malaysia, berpakaian baju kebangsaan atau apa jua yang berkenaan dengan hari Kebangsaan dimana jua paparan yang anda miliki. Sebagai contoh, gambar profil aplikasi Whatsapp, Facebook, Instagram dan semua akaun laman sosial yang anda miliki.

2. Berpakaian Tradisional

Memandangkan perhimpunan sempena sambutan Hari Kemerdekaan di sekolah tidak dapat diadakan, apa kata pihak sekolah benarkan para pelajar berpakaian tradisional untuk satu hari bagi memeriahkan lagi suasana Hari Kemerdekaan. Tentu menarik jika kita melihat satu sekolah dengan pakaian tradisional masing-masing.

Selain itu, individu  yang bekerja atau dimana jua anda berada digalakkan untuk menggayakan pakaian tradisonal masing-masing pada Hari Kemerdekaan 31 Ogos akan datang tidak lama lagi. Warna-warni dan kepelbagaian baju tradisional pada hari tersebut pasti akan membangkitkan lagi kemeriahan Hari Kebangsaan meskipun ianya tidak disambut seperti sebelum ini.

Antara pakaian tradisional yang dapat anda gayakan ialah baju Melayu, kurung pahang dan kebaya bagi Melayu, sari India dan cheongsam Cina. Warna-warni dan kepelbagaian ini pasti menjadi satu tarikan dan kemeriahan yang luar biasa.

3. Gantung Kain Rentang

Ini aktiviti normal ketika mengadakan sambutan Bulan Kemerdekaan. Kain rentang dengan warna dan juga kata-kata patriotik dihias indah di seluruh kawasan.

Kain rentang boleh digantung di sekitar kawasan sekolah, di pintu gerbang kampung atau kawasan tumpuan seperti perpustakaan dan pekan-pekan kecil di kawasan tempat tinggal anda.

Tak dilupakan juga bendera Malaysia dan negeri masing-masing yang menjadi kebanggaan. Jika mahu berjimat, maka tuliskan saja “Selamat Hari Kebangsaan” tanpa perlu menulis tahun atau sambutan kali ke berapa. Nanti tahun depan boleh guna lagi!

4. Menonton Filem Merdeka.

Luangkan masa bersama keluarga atau rakan-rakan anda dengan menonton filem-filem yang bertemakan Kemrdekaan. Disamping menonton, secara tidak langsung akan memberi penghayatan yang lebih mendalam terhadap erti kemerdekaan.

Tambahan pula, watak-watak dalam filem “Sarjan Hasan”, “Leftenan Adnan” dan “Hati Malaya” sedikit sebanyak boleh memberi kesan kepada kita dalam menghayati erti perjuangan yang sebenar.

5. Hias Kelas dan Rumah

Bagi nak menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan di peringkat sekolah, maka jangan lupa juga hiaskan kelas anda dengan hiasan yang bertemakan Kemerdekaan. Bendera Malaysia dan bendera negeri merupakan antara hiasan wajib ada dalam kelas. Tak lupa juga poster dengan wajah-wajah tokoh yang berjuang untuk kemerdekaan negara. Kata-kata patriotik daripada tokoh-tokoh ini juga boleh dijadikan poster hiasan dinding yang menarik.

Di rumah pula, jangan lupa untuk kibarkan bendera Malaysia dan negeri masing-masing. Selain itu, bersama-sama ahli keluarga anda juga boleh membina model bangunan bersejarah. Bayangkan jika Kota A Famosa versi mini dan bangunan bersejarah lain yang ada di Malaysia dibina dikawasan rumah anda, sudah tentu akan menjadi satu tarikan sebagai sudut fotografi yang menarik untuk bergambar.

Semaikan dalam diri kita dan generasi akan datang terhadap perasaan cintakan negara dengan meraikan Hari Kemerdekaan kita setiap tahun agar apa jua berlaku semangat perpaduan dan cintakan tanah air tidak luntur dalam diri kita.