4 Cara Terbaik Menegur Kesilapan Anak

Kenapa perlu menggunakan cara yang terbaik untuk menegur kesilapan anak? Menegur dengan cara yang terbaik supaya anak -anak mudah mendengar cakap.

Kenapa Perlu Menegur Dengan Cara Yang Terbaik?

Pada abad digital ini, menjadi cabaran yang sangat besar buat para ibu bapa untuk mendidik anak-anak. Kesilapan anak-anak merupakan tanggungjawab ibu bapa untuk menegurnya. Oleh itu, tegurlah anak-anak anda dengan cara yang terbaik.

Emosi anak-anak perlu dijaga seiring dengan tumbesaran mereka. Jangan bandingkan anak-anak zaman gajet sekarang dengan kita yang membesar dengan ibu bapa yang selalu marah-marah, rotan dan tengking zaman dulu-dulu.

Tapi anak-anak sekarang zaman lahir sahaja sudah kenal apa itu ‘hand phone’, ‘selfie’, PSP dan macam-macam gajet lagi. Jadi mereka membesar sebagai anak yang manja dan tidak lasak.

Oleh itu cara didikan juga perlu sedikit berbeza tapi bukan bermakna tak boleh marah, tegur atau rotan sama sekali. Cuma perlu pada nada suara yang terkawal dan denda yang masuk akal bersesuaian dengan kesalahan mereka.

Oleh itu kalau nak tegur kalau mereka buat silap pun perlu ada caranya.

4 Cara Terbaik Menegur Kesilapan Anak

1. Tekankan pada kelakuan anak, bukan peribadinya

Semua anak dilahirkan pandai dan baik. Ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkan peribadi mereka.

Bila mereka buat silap jangan marahkan peribadi anak sebaliknya beritahu yang anda marahkan kelakuannya yang salah bukan dirinya. Jangan sampai anak fikir ibu atau ayah marah sebab bencikan dia.

2. Meninggikan suara hanya perlu

Penggunaan ‘pitching’ suara yang tinggi hanya boleh digunakan dalam situasi cemas yang boleh membahayakan anak. Kalau setakat marah-marah biasa tak perlu menjerit macam ‘singa’.

Takut hanya mengganggu sel-sel otak anak yang sedang berkembang jadi terbantut. Akibatnya anak membesar sebagai seorang individuu yang pasif, murung, pendiam dan penakut.

3. Elakkan gertak bohong

Kalau bagi amaran baik anda laksanakan betul-betul. Jangan nanti si kecil jadi tak hairan pun dengan amaran ibu atau ayah sebab tahu anda tak akan melaksanakan amaran tersebut kalau mereka buat salah.

Jika anda menengurnya sekali, anda boleh mengulangnya sekali lagi. Tetapi kalau teguran itu masih tak dihiraukan, pertimbangkan hukuman secara bijak. Contohnya dengan “mengambil’ barangan yang disayangi anak.

4. Menegur atau memarahi dengan berhemah

Bila menegur atau memarahi anak buat silap mestilah tidak mengikut perasaan hingga habis kita ungkit dan cakap yang bukan-bukan.

Maklumlah bila hati sudah marah, kita lupa yang dimarah itu cuma anak kecil yang tak faham apa-apa lagi. Biarlah marah itu hanya pada kesalahan yang mereka lakukan pada waktu itu.

Elakkan juga cepat ‘naik tangan’ pada anak. Nanti anda juga yang akan menyesal. Kalau perlu juga memukul mereka, lakukan pada anggota yang dibolehkan untuk mendidik.

Semoga kita semua mampu menjadi ibu bapa yang mendidik anak dengan bijak dan bukan sekadar mengikut emosi marah yang tak pernah habis.