10 Langkah Ke Arah Kesihatan Mental Yang Positif

Masalah mental boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, namun kajian menunjukkan paling tinggi membabitkan golongan berpendapatan rendah dan kelompok berumur 16 hingga 19 tahun- kata Datuk Seri Dr S Subramaniam.

 

Mengurus stigma dan menghulurkan pertolongan

Kesihatan mental berkait rapat dengan kehidupan kita. Orang ramai sering mengaitkan kesihatan mental dengan penyakit mental tetapi kenyataan ini adalah kurang tepat. Dengan menguruskan stigma kita terhadap masalah mental, membuka lebih banyak peluang untuk kita menghulurkan pertolongan.

Pada masa yang sama, individu yang mengalami masalah mental juga mempunyai keyakinan diri untuk mengakui masalah yang sedang dihadapinya dan sekaligus mencari pertolongan.

Masyarakat Malaysia seharusnya lebih terbuka dalam menangani masalah kesihatan mental. Kita mestilah lebih peka untuk mengenalpasti ahli keluarga, rakan dan mungkin rakan sekerja anda yang sedang mengalami masalah mental dan bersedia untuk menawarkan pertolongan kepada mereka.

Jika terdapat rintangan daripada mangsa, kita perlu mendapat pertolongan daripada individu lain mahupun profesional, daripada terus membiarkan mangsa menyendiri dan menghadapi masalah mental berseorangan.

Mencegah sebelum terlambat

Umum mengetahui tekanan atau stress menjadi penyumbang utama kepada kemerosotan kesihatan mental. Jika kita mampu mengatasi tekanan sebaiknya, sudah pasti kita dapat meningkatkan kualiti kesihatan mental. Berikut merupakan 10 langkah ke arah kesihatan mental yang positif:

1. Menerima kenyataan diri secara realistik — dengan menerima kenyataan diri, kita akan mengenalpasti kelebihan dan kekurangan diri, sekaligus berusaha untuk memperbaiki kelemahan tersebut.

2. Mengendali masa dengan baik — pengendalian masa yang baik dapat mengurangkan tekanan akibat kesan langsung daripada perhubungan kita dengan masyarakat (contohnya; dimarahi majikan kerana lewat berada di pejabat akibat kesesakan jalan raya dan klien tidak berminat untuk menjalankan urusniaga kerana anda terlewat untuk temujanji).

3. Merancang perubahan dalam kehidupan secara bijak —  senario ini berkait rapat dengan penerimaan orang baharu dalam hidup, seperti mendapat cahaya mata. Seseorang ibu yang baru melahirkan anak mungkin mengalami tekanan kerana tanggungjawab barunya itu. Sistem sokongan yang kuat seperti kaum keluarga dan suami mengambil langkah proaktif menguruskan ibu dan anak tersebut, dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh si ibu.

4. Memupuk hubungan harmoni dan kasih sayang dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan komuniti — hubungan yang baik dalam kalangan keluarga dan masyarakat dapat menghasilkan situasi penuh ceria dan bahagia. Ini sekaligus, mengukuhkan sistem sokongan kepada setiap ahli dalam masyarakat.

5. Menjaga kesihatan fizikal — ini termasuk memastikan pengamalan diet seimbang. Kajian mendapati, terdapat pertalian rapat di antara masalah mental seperti kemurungan dengan penyakit berkaitan jantung seperti penyakit jantung kardiovaskular, koronari, strok dan sebagainya.

6. Meluangkan masa untuk aktiviti fizikal dan riadah — contohnya senaman mampu melepaskan hormon Endorfin yang boleh mewujudkan perasaan gembira dan bahagia.

7. Memastikan rehat dan tidur yang cukup — rehat dan tidur yang kurang daripada sepatutnya dapat menjejaskan prestasi kerja akibat keletihan dan kelesuan. Ini dapat meningkatkan kebarangkalian kemurungan.

8. Mengamalkan nilai-nilai positif dalam diri — seperti bertolak-ansur, saling menghormati dan memaafkan orang lain. Nilai-nilai positif dalam diri ini sedikit sebanyak membantu kita mengawal perasaan marah dan kecewa.

9. Mengendalikan tekanan mental secara berkesan — anda perlu mengawal tekanan dan mencari penyelesaian terbaik serta melepaskan sesuatu yang bukan berada dalam kawalan anda.

10. Berkongsi masalah dengan orang lain dan mendapat pertolongan profesional sekiranya perlu — anda bukan berseorangan di dalam hidup ini. Mungkin mereka tidak dapat membantu, sekurang-kurangnya ada yang ingin mendengar masalah anda dan dapat mengurangkan sedikit beban yang dihadapi.

Sumber: bside.my