Bagaimana Cara Terbaik untuk Belajar di Rumah?

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilanjutkan sehingga 14 April 2020 berikutan wabak Covid-19 semakin meningkat. Oleh hal yang demikian, semua pihak haruslah patuh dengan arahan yang telah ditetapkan oleh kerajaan untuk berada di rumah dan jaga kesihatan serta keselamatan seisi keluarga.

Anak-anak tidak dapat ke sekolah seperti biasa, namun elakkan anak-anak anda daripada ketinggalan dalam pembelajaran walaupun berada dirumah. Peluang berada dirumah ini seharusnya digunakan dengan sebaiknya bersama-sama ahli keluarga. Ibu bapa hendaklah meluangkan masa dan ruang sepanjang tempoh PKP ini untuk memberi tumpuan kepada anak-anak agar mereka dapat melakukan perkara-perkara berfaedah dirumah.

Sesi pembelajaran dirumah boleh dilakukan dengan sempurna apabila mempunyai penglibatan yang baik antara anak-anak dan ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa mestilah menggunakan cara dan medium pembelajaran yang efektif terhadap anak-anak.

Kenali Gaya Belajar Anak Anda

Setiap individu mempunyai gaya ataupun kaedah pembelajaran yang berbeza. Ibu bapa seharusnya mengetahui gaya belajar anak mereka. Hal ini kerana, kaedah pembelajaran sangat mempengaruhi seseorang tersebut untuk belajar. Antara kaedah pembelajaran yang diperkenalkan oleh para pakar ialah:

  • Visual

Pelajar visual lebih mudah untuk menyerap dan menerima maklumat sekiranya maklumat tersebut dipersembahkan dalam bentuk gambar, carta dan gambarajah.

  • Auditori

Pelajar auditori lebih mudah untuk menyerap dan menerima maklumat melalui pendengaran. Mereka lebih suka mendengar sesebuah pembentangan oleh guru mahupun kerja berkumpulan. Mengulang semula ayat dengan mulut sendiri juga membantu dalam pembelajarannya.

  • Kinestetik

Pelajar kinestetik lebih sukakan pengalaman yang melibatkan anggota fizikal. Mereka sukakan sesuatu yang lebih praktikal berbanding teori, lebih-lebih lagi yang melibatkan sentuhan ataupun alatan.

  • Global

Gaya belajar global memiliki kemampuan memahami sesuatu secara menyeluruh. Pemahaman yang dimilliki berisi gambaran yang besar dan juga hubungan antara satu objek dengan yang lainnya. Anak dengan gaya belajar global juga mampu memahami hal-hal yang tersirat dengan bahasanya sendiri secara jelas.

  • Analitik

Gaya belajar analitik memiliki kemampuan dalam memandang sesuatu cenderung ditelaah terlebih dahulu secara terperinci, spesifik dan teratur. Megerjakan suatu hal secara bertahap dan mengikut urutan.

Ringkasnya, ibu bapa yang mengetahui kaedah ataupun gaya belajar anak-anak akan membantu mereka dalam usaha memberi galakan yang bersesuaian kepada anak-anak mereka belajar dengan cara yang interaktif dan efektif di rumah.

Galakan Daripada Ibu Bapa

Setelah ibu bapa mengetahui kaedah pembelajaran yang berkesan kepada anak-anak mereka. Ibu bapa bolehlah menyediakan bahan  yang bersesuaian untuk anak-anak bagi menarik minat mereka belajar. Sebagai contoh jika gaya belajar anak anda adalah auditori, ibu bapa boleh memberi galakan kepada anak-anak untuk mendengar lagu-lagu yang telah diubahsuai khas untuk belajar.

Selain itu, ibu bapa juga boleh mengaplikasikan konsep belajar sambil bermain. Pendekatan ini dilihat sangat berkesan dalam membantu kanak-kanak dalam pembelajaran dan perkembangan mereka berbanding pembelajaran secara formal.  Sebagai contoh subjek Matematik untuk pengajaran mengira nombor, kebiasaannya belajar menggunakan latihan buku dan papan tulis. Cara ini boleh ditukarkan dalam bentuk permainan seperti permainan “Bowling Nombor”, di mana kanak-kanak boleh bermain bowling sambil belajar mengira nombor mengikut jumlah pin yang jatuh. Oleh itu, jika ibu bapa membeli mainan, pilihlah mainan yang diklasifikasikan sebagai mainan “educated”.

Selain itu, faktor usia juga merupakan salah satu elemen penting yang harus dititik beratkan oleh ibu bapa dalam memberi galakan kepada anak-anak mereka untuk belajar. Keutamaan harus diberikan kepada anak-anak kecil yang dalam linkungan usia 5-10 tahun. Ibu bapa digalakkan untuk duduk menjadi peneman mereka belajar bersama-sama anak. Namun begitu elakkan daripada memaksa anak-anak untuk belajar mengikut kehendak yang ditetapkan oleh anda terutamanya bagi anak-anak yang telah dewasa. Biarkan mereka untuk belajar mengikut waktu dan kelapangan mereka tersendiri.

Ruangan Khas yang Kondusif untuk Belajar

 “Homeschooling” yang menarik. Wujudkan sudut atau bilik khas untuk anak-anak anda belajar di rumah. Ruang atau bilik interaktif untuk anak-anak anda belajar akan membantu mereka fokus dan belajar lebih masa. Namun begitu, ruang rumah yang sempit atau ketiadaan kemudahan asas seperti meja dan kerusi bukanlah penghalang untuk belajar. Ibu bapa boleh mewujudkan suasana belajar walaupun sekadar belajar di ruang tamu atau meja makan. Kreativiti dan keunikan itu haruslah dicipta sekadar kemampuan anda demi masa depan yang lebih bermakna.

Sediakan bahan-bahan belajar seperti buku dan peralatan alat tulis untuk melukis, mewarna dan sebagainya bagi kegunaan anak-anak. Perbanyakkan buku-buku yang pelbagai pilihan. Ibu bapa tidak perlu memaksa anak-anak untuk membaca, dengan adanya pelbagai pilihan secara automatik anak-anak anda akan menjadi ulat buku kerana tertarik dengan pelbagai buku yang sedia ada.

Ketetapan Masa atau Jadual Belajar

Belajar pada masa yang betul!

Setiap individu mempunyai aktiviti seharian yang berbeza dan mengikut masa yang tersendiri. Oleh hal demikian, masa belajar bagi setiap individu bergantung terhadap dirinya. Sesetengah orang suka belajar pada waktu malam manakala sesetengah orang lebih suka pagi. Ambil kesempatan daripada masa seharian anda dimana waktu tersebut anda rasa adalah waktu yang betul. Iaitu waktu yang paling produktif dan sesuai untuk anda belajar. Elakkan memaksa diri anda untuk belajar apabila anda sibuk atau tiada mod.

Bagi individu yang berdisiplin, sangat digalakkan kepada anda untuk membuat jadual belajar harian anda di rumah.  Membuat jadual waktu membantu mengatur masa anda, menjadualkan rehat anda, dan amat berguna apabila anda mempunyai banyak mata pelajaran untuk belajar. Tulis jadual anda supaya anda dapat mengingatnya dan merujuknya dengan kerap. Tetapkan had yang munasabah untuk berapa banyak masa yang anda habiskan untuk belajar setiap hari dan membahagikan sesi belajar anda dalam tempoh yang dapat diuruskan.

Bagi anak-anak dalam linkungan usia 4-10 tahun, jadual belajar, makan, rehat dan bermain boleh disusun dan ditetapkan oleh ibu bapa. Apabila keperluan asas mereka seperti makan, rehat dan bermain dilengkapi, ibu bapa boleh menetapkan ketetapan masa untuk anak-anak belajar dalam masa sehari. Sebagai contoh, sejam pada waktu pagi dan sejam di malam hari. Namun, harus diingatkan elakkan daripada memaksa anak-anak belajar. Oleh itu, ibu bapa harus bijak mengaplikasi pelbagai konsep pembelajaran kepada anak-anak. Antaranya ialah memberikan ‘reward’ kepada anak-anak yang patuh kepada arahan anda, menyingkatkan waktu belajar bagi anak-anak yang fokus semasa belajar dan memulakan sesi pembelajaran dengan permainan.

Belajar bersama-sama Ahli Keluarga

Ibu bapa tidak habis dengan memberi alasan “sibuk”, “tiada masa” menyebabkan mereka tidak dapat memberi tumpuan kepada anak-anak untuk belajar dirumah. Bulat-bulat menyerahkan tanggungjawab belajar hanya kepada guru. Sikap lepas tangan ibu bapa terhadap anak-anak di rumah dalam pembelajaran tidak sepatutnya berlaku. Oleh itu, dengan ruang dan masa yang kita perolehi sepanjang tempoh PKP ini jadikan detik ibu bapa dan anak-nak dirumah merupakan saat yang sangat istimewa dengan pengisian yang bermanfaat. Antara tips untuk belajar bersama-sama ahli keluarga ialah:

  • Ibu bapa memainkan watak penting iaitu sebagai guru dirumah bagi anak-anak yang masih kecil dalam linkungan usia 4-10 tahun.
  • Ibu bapa beperwatakan sebagai kawan kepada anak-anak yang dewasa, dimana membantu serta memberi galakan kepada mereka untuk belajar mengikut kelapangan masa mereka tersendiri.
  • Kakak/abang sulung atau yang dewasa menjadi contoh teladan kepada adik-adik untuk turut sama-sama belajar.

Belajar bersama-sama keluarga di rumah secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan disamping mengisi masa terluang dengan aktiviti yang berfaedah.

Belajar bersama-sama Rakan Secara Online

Bagi anak-anak yang suka belajar secara kumpulan, waktu PKP ini bukan penghalang untuk belajar bersam-sama rakan di rumah masing-masing dengan kemudahan dan kecanggihan teknologi yang sedia ada ini. Mereka dapat menggunakan laman maya  iaitu “Video Call” di aplikasi seperti Skye, Zoom dan Whatsapp untuk bersua muka belajar bersama-sama rakan.

Selain itu, anak-anak juga boleh mengakses internet  dengan menggunakan gajet masing-masing seperti telefon pintar atau komputer riba untuk mendapatkan maklumat berkaitan pembelajaran di laman-laman soaial seperti facebook dan blog.

Oleh itu, ibu bapa haruslah memastikan rangkaian internet di rumah sentiasa ada dan memadai untuk anak-anak mengakses internet untuk sesi pembelajaran mereka.

Kesimpulannya, ibu bapa merupakan tunjang utama dalam memastikan anak-anak belajar di rumah dan melakukan aktiviti yang berfaedah sepanjang tempoh PKP ini. Jangan lepaskan peluang ini untuk merancang aktiviti-aktiviti yang menarik di rumah bersama-sam ahli keluarga anda.